Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung 2021-2025 dilancar

Rosol (tiga dari kiri) pada pelancaran Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2021-2025) di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Rosol (tiga dari kiri) pada pelancaran Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2021-2025) di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2021-2025) yang akan menterjemah hala tuju industri jualan langsung pada masa hadapan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pelan bagi tempoh lima tahun akan datang itu adalah kesinambungan kepada pelan sebelum ini yang telah berakhir.

“Memandangkan Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2013-2020) telah pun berakhir, maka KPDNHEP telah melaksanakan penyediaan pelan hala tuju baharu sebagai kesinambungan kepada perkembangan industri untuk tempoh lima tahun akan datang dalam usaha memperkasakan sektor ini menerusi peningkatan nilai jualan menjelang 2025.

“Pelan ini adalah dokumen yang akan menterjemah hala tuju industri jualan langsung pada masa hadapan. Ia telah digarap berdasarkan kepentingan semua pihak yang terlibat di dalam industri ini termasuk menjayakan industri jualan langsung ke arah mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif dan dinamik.

“Pelan ini merupakan blueprint yang akan merealisasikan hasrat kerajaan melalui pendekatan yang mampu diterjemahkan dalam kepelbagaian sesi libat urus atau aktiviti-aktiviti yang akan turut melibatkan pemain-pemain industri dalam menyumbang perkembangan jualan langsung negara bukan sahaja di peringkat domestik tetapi sehingga ke peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia dan pelancaran Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2021-2025) di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, iltizam KPDNHEP melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) akan turut diterjemahkan melalui pelan ini dengan mengambil kira keperluan mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan khususnya dalam membangun serta mengembangkan industri jualan langsung negara.

Ujarnya, ia sejajar dengan aspirasi kerajaan melalui semangat Keluarga Malaysia untuk melihat kekayaan negara dapat dikongsi secara adil, saksama dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

“KPDNHEP selaku entiti yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti dan pembangunan industri jualan langsung negara akan memastikan segala perancangan yang digariskan dalam pelan ini mampu melonjakkan industri ini dalam momentum daya saing dan daya tahan yang lebih kuat.

“Pandemik Covid-19 umpamanya melemahkan pertumbuhan ekonomi negara dan dunia dan dalam fasa pemulihan ekonomi ini, Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung akan mempersiapkan industri ini dengan ekosistem perniagaan yang lebih mantap dalam norma ekonomi dan sosial global yang sejajar dengan peralihan negara dalam fasa peralihan endemik,” katanya.