X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Lompat parti hak Zuraida: Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
A
A

IPOH - Pas beranggapan adalah hak Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memilih untuk melompat parti kerana perkara itu selari dengan sistem politik negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu bukan satu kesalahan kerana ia tidak termaktub dalam mana-mana perlembagaan undang-undang.

Menurutnya, tambahan pula pada ketika ini Undang-undang Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, masih belum dilululuskan.

"Terpulang kepada dia kerana Malaysia ini negara demokrasi yang secara prinsipnya seseorang itu boleh nak pergi mana-mana parti atau kalau nak tubuh parti baharu pun dibolehkan.

"Ini soal kebebasan, lagipun undang-undang lompat parti belum diluluskan," katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas tindakan Zuraida yang mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia turut menjelaskan akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai kedudukannya sebagai menteri.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas yang dihadiri lebih 20,000 orang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sama ada kedudukan Zuraida dalam kabinet perlu dikekalkan atau diganti adalah bergantung kepada perbincangan antara parti dalam kerajaan.

Katanya, perkara itu kerana secara dasarnya, lantikan sebagai anggota kabinet adalah lebih kepada mewakili sesuatu parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

"Jadi kita tunggu nanti kerana saya percaya, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum lagi tentu adakah dia mahu masuk parti yang bergabung atau tidak," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!