'Keahlian Zuraida dalam Bersatu digugurkan serta-merta'

Gambar dari kiri: Muhyiddin, Zuraida
Gambar dari kiri: Muhyiddin, Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Keahlian Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digugurkan serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan tindakan Zuraida membuat pengumuman untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) baru-baru ini.

Ujar beliau, satu nama baharu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa yang terdekat untuk dilantik sebagai anggota kabinet.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beliau kepada Bersatu selama ini.

“Saya akan mengemukakan satu nama baru kepada Perdana Menteri dalam masa yang terdekat untuk dilantik sebagai anggota kabinet memandangkan kedudukan Zuraida sebagai menteri adalah atas kuota Bersatu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kenyataan media Muhyiddin pada Khamis.
Kenyataan media Muhyiddin pada Khamis.

Pada Khamis, Zuraida mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kedudukan Zuraida sebagai ahli Bersatu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebelum ini.

Menurutnya, surat tunjuk sebab telah dihantar pada 9 Mei lalu dan Zuraida telah menjawab surat berkenaan pada Isnin.

“Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disipilin parti.

“Namun demikian, memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam Bersatu telah gugur serta merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu,” ujarnya.