Lelaki maut rempuh penghadang jalan

Keadaan kereta dipandu mangsa selepas terbabs dan melanggar penghadang jalan berhampiran susur keluar ke Presint 11, Putrajaya di sini pada Sabtu.
Keadaan kereta dipandu mangsa selepas terbabs dan melanggar penghadang jalan berhampiran susur keluar ke Presint 11, Putrajaya di sini pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 37.9, Persiaran Utama arah Puchong di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun maut di lokasi kemalangan dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Gen 2 dari arah Cyberjaya menghala ke Puchong untuk pulang ke rumah.

"Sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai telah terbabas dan melanggar besi penghadang di antara jalan susur keluar ke Putrajaya dan jalan arah ke Puchong," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

Beliau berkata, mangsa dipercayai maut akibat kecederaan dalaman dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera bersama pegawai dan anggota dari Balai Bomba Cyberjaya tiba di lokasi kejadian pada jam 7.08 pagi.

"Setibanya di tempat kejadian, mangsa didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.