X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Kes saman fitnah Firdaus Wong, Arunakirinathan selesai cara baik

Firdaus Wong Wai Hung (kiri) & Arunakirinathan (kanan).
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah difailkan pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung terhadap aktivis, T Arunakirinathan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, Isnin lalu.

Menerusi perkongsian di laman Facebook milik Firdaus Wong, pendakwah itu berkata, penghakiman persetujuan dicapai ketika prosiding diadakan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache.

Menurutnya, antara terma persetujuan bagi penyelesaian ialah Arunakirinathan selaku defendan memohon maaf secara bertulis dan menerusi rakaman video di FB kepada Firdaus Wong selaku plaintif.

"Permohonan maaf tersebut diperincikan seperti berikut, 'bahawa saya T Arunakirinathan adalah pemilik akaun FB Arunakiri Nathan dan/atau Arunakiiri Nathan II, ingin memohon maaf kepada Firdaus Wong Wai Hung kerana telah salah dan berniat jahat, membuat penyataan-penyataan fitnah kepada beliau pada 18 Disember 2018 dan 1 Februari 2019, dan melalui video secara langsung bertarikh 18 Disember 2018.

"Ia adalah kenyataan fitnah, saya (Arunakirinathan) dengan ini menarik balik segala pernyataan fitnah yang dikongsikan di mana-mana media sosial," katanya.

Firdaus Wong berkata, Arunakirinathan perlu memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah yang telah dilemparkan.

Defendan dikehendaki memuat naik pengakuan itu serta merta dari tarikh penerimaan.

Selain itu, defendan perlu membayar RM8,000 kepada Firdaus Wong dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman persetujuan sebagai penyelesaian penuh.

Ketika dihubungi Sinar Harian, peguam, Syahidah Hanum Mohd Ghazali yang mewakili Firdaus Wong, mengesahkan perkara tersebut.

Dalam kes ini, Arunakirinathan diwakili peguam M Manoharan.

Menerusi kenyataan di FB, Firdaus Wong turut memanjatkan kesyukuran kerana kes saman fitnah itu telah diselesaikan.

"Syukur Alhamdulilah, atas doa sahabat semua, semoga dia dikurniakan hidayah oleh Allah," katanya.

Pada 29 Jun 2019, Firdaus Wong memfailkan saman terhadap Arunakirinathan kerana memuat naik kenyataan dan video memfitnah beliau sebagai pengganas, menghina agama lain serta mengubah kitab agama lain.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!