Taktik Macau Scam perangkap mangsa

Sindiket Macau Scam menggunakan kaedah menakutkan mangsa dan meletakkan diri mangsa dalam keadaan bersalah. Gambar kecil: Victor
Sindiket Macau Scam menggunakan kaedah menakutkan mangsa dan meletakkan diri mangsa dalam keadaan bersalah. Gambar kecil: Victor
A
A
A

SHAH ALAM - Menakutkan mangsa serta meletakkan mangsa sebagai individu bersalah dan melanggar undang-undang antara taktik yang sering kali digunakan oleh anggota sindiket Macau Scam dalam memerangkap mangsa.

Mendedahkan kepada Sinar Harian, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, seseorang mangsa itu akan diletakkan sebagai individu yang melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

"Kaedah psikologi digunakan sindiket sekali gus menjadikan mangsa tidak mempunyai ruang untuk mempersoalkan tuduhan diberikan, malah suasana menerusi panggilan yang mana seolah-olah dalam pejabat meyakinkan mangsa bahawa individu yang bercakap itu memang benar seorang pegawai kerajaan.

"Selain itu, sindiket turut menakutkan mangsa dengan membacakan peruntukan undang-undang sedia ada dan adakalanya mangsa akan ditakutkan dengan hukuman penjara dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurut beliau, berdasarkan rekod polis, kebanyakan mangsa terperdaya kerana diletakkan dalam keadaan serta situasi yang menjadikan diri mereka berasa bersalah.

"Selain menakutkan mangsa, sindiket juga bertindak memancing dari segi emosi mangsa, dengan menyatakan kesan bukan sahaja kepada diri mangsa malah melibatkan keluarga mangsa sekiranya mengingkari tuduhan dinyatakan.

"Kaedah serta teknik yang digunakan ini sekali gus menjuruskan mangsa untuk menuruti kehendak sindiket," katanya.

Beliau memberitahu, menyamar sebagai pegawai kerajaan atau daripada agensi penguat kuasa antara helah yang digunakan sindiket Macau Scam dalam menjerat mangsa.

Victor berkata, anggota sindiket akan memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai agensi penguat kuasa ketika menghubungi mangsa.

Jelasnya, helah yang sering digunakan Macau Scam untuk memperdayakan mangsa ialah dengan menyamar sebagai agensi penguat kuasa kerajaan.

"Mangsa yang menafikan perkara ini akan disambungkan pula kepada satu pihak lagi yang mendakwa sebagai pegawai polis.

"Pegawai polis ini akan menyatakan kepada mangsa bahawa dia telah terlibat dengan aktiviti jenayah antaranya pengubahan wang haram dan dadah yang membolehkan mangsa ditangkap dan didakwa di mahkamah," katanya.

Tambahnya, ketika ini, sindiket akan mula memasang perangkap dengan mengumpan mangsa untuk mendapatkan butiran peribadi seperti nombor akaun bank dan sebagainya.

"Individu yang menyamar sebagai pegawai polis ini akan meminta maklumat akaun bank dan lain-lain maklumat bank milik mangsa kononnya untuk siasatan.

"Selain itu, mangsa juga diarahkan memindahkan sejumlah wang ke akaun bank pihak ketiga (keldai akaun) kononnya untuk siasatan lanjut dan akan dikembalikan setelah siasatan selesai dijalankan," jelas beliau.

Victor berkata, mangsa hanya menyedari menjadi mangsa Macau Scam ini setelah mendapati wang dalam akaun bank mereka lesap setelah dipindah ke akaun bank pihak ketiga tersebut.

"Ketika ini mangsa akan panik apabila semakan dilakukan mendapati wang telah tiada.

"Usaha untuk menghubungi semula individu yang mengaku sebagai pegawai agensi penguat kuasa juga gagal," katanya.

Mangsa perlu segera hubungi bank, sekat transaksi kewangan

Orang ramai perlu mengambil tindakan segera dengan menghubungi pihak bank sebaik sahaja menyedari menjadi mangsa Macau Scam.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh mangsa Macau Scam ialah perlu menghubungi pihak bank untuk menyekat transaksi kewangan dari akaun bank yang telah dikongsikan maklumatnya dengan scammer.

"Seterusnya mangsa membuat laporan polis yang mana pihak polis memerlukan nombor telefon dan nombor akaun bank yang diberikan oleh scammer," katanya.

Kesedaran dan langkah berjaga-jaga perlu elak diri jadi mangsa

Jangan sewenangnya berkongsi maklumat peribadi dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali.

Victor berkata, dalam apa sahaja urusan terutama melibatkan sesuatu kes, polis tidak akan sesekali melakukan urusan menerusi panggilan telefon.

"Jangan mudah percaya sekiranya dihubungi individu atau mana-mana pihak mengaku sebagai pegawai polis, tambahan apabila diminta membuka akaun lain misalnya, perkara ini sama sekali tidak berlaku dalam siasatan polis," katanya.

Jelasnya, secara umum kebanyakan mangsa ini sedar akan kempen yang selama ini dijalankan oleh pihak polis berkaitan sindiket Macau Scam ini.

Sindiket Macau Scam bijak memperdayakan mangsa sehingga mudah berkongsi butiran diri termasuk nombor akaun bank.
Sindiket Macau Scam bijak memperdayakan mangsa sehingga mudah berkongsi butiran diri termasuk nombor akaun bank.

Beliau berpendapat sikap alpa dan ambil mudah antara faktor utama seseorang itu mudah menjadi mangsa kepada sindiket.

"Pihak polis telah memberikan maklumat dan pengetahuan secukupnya berkaitan Macau Scam kepada masyarakat.

"Ini berdasarkan kepada siasatan dijalankan terutamanya daripada mangsa sendiri yang menyatakan mereka mengetahui kempen kesedaran diberikan oleh polis, apabila menjadi mangsa, barulah mereka menyedari telah ditipu," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam Klang, Datuk B K Tang berkata, jenayah melibatkan Macau Scam bukan satu jenayah melibatkan paksaan namun ia atas kerelaan mangsa akibat terperdaya dengan helah yang digunakan sindiket ketika memerangkap mangsa.

Menurut beliau, dalam soal ini, seseorang individu itu perlu mengambil pelbagai langkah untuk mengelakkan diri menjadi mangsa.

"Dalam kes melibatkan Macau Scam ini, apa yang saya lihat adalah jangan sesekali panik apabila dihubungi mana-mana pihak berkaitan isu melibatkan cukai, tindakan mahkamah berkaitan jenayah dan sebagainya.

"Berulang kali semak dengan pihak berkuasa terus, jangan sesekali meletakkan kepercayaan terhadap individu yang menghubungi itu," katanya.

Tang berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) harus bekerjasama dalam menyiasat dan menyekat laman sesawang atau nombor yang terlibat dalam kes Macau Scam.

"Platform dalam talian yang menyediakan khidmat e-commerce atau media sosial harus memantau dan menyiasat latar belakang pemilik yang terlibat sebelum mereka menyenaraikan produk atau sebarang informasi ke atas platform.

Jangan malu lapor pihak berkuasa

Terdapat kes di mana, mangsa sindiket Macau Scam ini tidak mahu melaporkan kepada pihak berkuasa dengan alasan termasuk malu dan tidak mahu memanjangkan kes.

"Laporan polis harus dibuat supaya pihak polis mendapat lebih banyak maklumat dan bukti yang kukuh bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket atau individu yang terbabit dalam Macau Scam ini," katanya.

Jenayah Macau Scam tunjukkan peningkatan ketaraKes melibatkan Macau Scam di Selangor mencatatkan peningkatan ketara melibatkan sebanyak RM19.8 juta dicatatkan sejak awal Januari sehingga April tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kadar terkini yang direkodkan melibatkan kes Macau Scam ini sekaligus menjadi perkara yang membimbangkan.

Sehingga kini, bagi kes Macau Scam yang berlaku di negeri Selangor dari bulan Januari 2022 sehingga bulan April 2022 adalah sebanyak 156 kes dan melibatkan kerugian sebanyak RM19,848,381.36.

"Bagi saya jumlah yang terlibat ini merupakan perkara yang membimbangkan, bayangkan dalam tempoh empat bulan sahaja, nilai kerugian yang dicatatkan melibatkan belasan juta ringgit,'' katanya.

Menurut Arjunaidi, mangsa-mangsa sindiket Macau Scam ini terdiri daripada semua golongan di negara ini.

Pelbagai hebahan dan informasi yang diberikan pihak polis berkaitan jenayah Macau Scam.
Pelbagai hebahan dan informasi yang diberikan pihak polis berkaitan jenayah Macau Scam.

Kisah sedih mangsa Macau Scam

Hanya setelah menerima satu panggilan telefon sahaja, tercetus detik hitam yang terpaksa dihadapi mangsa sindiket Macau Scam yang hanya mahu dikenali sebagai Azam.

Kehidupan Azam yang sebelum ini agak stabil dengan menjana pendapatan sebagai pemilik sebuah perniagaan runcit kini lenyap sekelip mata gara-gara wang yang disimpan sebagai modal pusingan telah lesap.

Menceritakan mengenai detik dirinya menjadi mangsa sindiket Macau Scam, Azam berkata, dia telah dihubungi oleh seseorang yang memberitahu bahawa dia ada mempunyai tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kejadian berlaku pada Mac lalu, di mana saya telah dihubungi seseorang yang beritahu dia merupakan pegawai LHDN, menerusi panggilan ini, dia ada sebut semua butiran mengenai diri termasuk nombor kad pengenalan saya.

"Ketika dia ada nyatakan saya ada mempunyai tunggakan LHDN, saya amat terkejut, sebab setahu saya saya tiada masalah dengan LHDN.

"Dalam panggilan ini, dia turut mengugut bahawa tindakan tegas boleh dikenakan terhadap saya termasuk penjara, mendengar itu saja buat saya rasa sangat takut," katanya.

Kata Azam, individu terbabit telah diminta dia untuk membuat satu akaun baru di mana semua wang simpanan dalam akaun bank dia yang lain perlu dimasukkan dalam akaun tersebut.

"Entah apa yang bermain di fikiran saya waktu itu, saya cuma menuruti arahan yang diberikan, cara individu itu bercakap dengan nada suaranya yang garang menjadikan saya langsung tidak mempertikaikan arahan diberikan kepada saya itu.

"Saya cuma tersedar bahawa saya telah tertipu apabila kesemua wang yang saya masukkan dalam akaun baharu tersebut telah lesap begitu saja," katanya.

Menurut Azam, menyedari dirinya tertipu, dunia sekeliling bagai gelap seketika.

"Masa tu perasaan saya hanya Tuhan sahaja yang tahu, bayangkan jumlah kerugian yang saya alami lebih kurang RM200,000 yang mana wang tersebut saya simpan sebagai modal pusingan perniagaan saya. Perniagaan saya musnah gara-gara wang yang sepatutnya saya gunakan dalam perniagaan telah lesap,'' ujarnya.