Tindakan Nurul Izzah tidak mengejutkan

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatannya sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bukan suatu yang mengejutkan.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, Nurul Izzah pernah melakukan tindakan sama melibatkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

“Nurul Izzah letak jawatan bukan benda baharu sebab beliau letak jawatan dalam TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dan Naib Presiden PKR,” katanya ketika di lobi Parlimen, semalam.

Pada 23 Mac lalu, Nurul Izzah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai anggota PAC susulan tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengekalkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa tersebut.

Zuraida menambah, isu berkaitan PAC sepatutnya diselesaikan melalui perbincangan di kalangan anggota jawatankuasa itu dengan menteri yang berkaitan.

“Dapatkan penjelasan, tapi sebelum itu dilaksanakan kenyataan umum, saya tak boleh buat apa-apalah sebab beliau (Nurul Izzah) sudah buat,” katanya.

Sementara itu, Zuraida memberitahu, beliau tidak tahu individu 'cengeng' yang dimaksudkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi hantaran di Twitter miliknya, baru-baru ini.

“Saya tak tahu beliau (Mohamed Azmin) merujuk kepada siapa ‘cry babies’ sebab saya tak nampak nama dipautkan (tagged) di situ, jadi saya tak tahu siapa dimaksudkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang itu turut menafikan ketidakharmonian dalam PKR kerana parti itu sentiasa terbuka dalam meraikan perbezaan pendapat.

“Semua orang boleh bercakap dan terpulang kepada Presiden untuk meneliti serta mengambil tindakan selanjutnya, saya serahkan kepada presiden,” ujarnya.