PBM sambut baik permohonan Zuraida

Gambar dari kiri: Nor Hizwan Ahmad, Zuraida Kamaruddin
Gambar dari kiri: Nor Hizwan Ahmad, Zuraida Kamaruddin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyambut baik permohonan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyertai parti itu.

Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata, permohonan Zuraida akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan keputusannya akan dimaklumkan selepas itu.

“Pada hari ini, pejabat Setiausaha Agung PBM telah menerima borang permohonan menyertai parti daripada Datuk Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Bagi pihak PBM, kami amat berbangga dan teruja dengan perkara ini memandangkan beliau merupakan seorang ahli Parlimen yang berdedikasi, berwibawa dan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang sebagai pemimpin yang dekat kepada rakyat di akar umbi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu Zuraida mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai PBM sekali gus berhasrat meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet.

Dalam pada itu Nor Hizwan berkata, permohonan Zuraida secara tidak langsung mengukuhkan keyakinan bahawa perjuangan parti itu mendapat sambutan pelbagai peringkat.

“Perkara ini mengukuhkan lagi keyakinan kami bahawa enam teras perjuangan yang dibawa PBM yang berbilang kaum ini mendapat sambutan dari pelbagai peringkat rakyat dan menambah semangat kami dalam membina momentum untuk bekerja keras demi bangsa Malaysia,” ujarnya.