[VIDEO] Segerakan RUU Anti Lompat Parti: Ahmad Zahid

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Ahmad Zahid)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Ahmad Zahid)
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti disegerakan susulan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahmad Zahid berkata, sekiranya pindaan RUU itu tidak disegerakan, tidak mustahil krisis kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusi politik akan menyebabkan kadar peratusan mengundi semakin rendah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Tegasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil serius akan perkara berkenaan dan tidak lagi berkompromi dengan mana-mana wakil rakyat yang melompat parti, kemudian kekal jawatan menteri dalam kabinet.

“Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat.

“Ramai lagi ahli Parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan menteri yang dipegang oleh Zuraida,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Khamis, Zuraida mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan keluar daripada Bersatu selepas mengambil keputusan untuk menyertai PBM.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, tindakan Zuraida yang sebelum ini juga pernah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Bersatu memberi gambaran betapa mudahnya wakil rakyat di negara ini untuk bertukar parti mengikut selera dan cita rasa sendiri.

Menurutnya, tindakan itu sudah pasti mengecewakan rakyat dan menunjukkan tiada kawalan terhadap wakil rakyat dan mereka bebas membuat apa sahaja.

“Tindakan ini sebenarnya menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat dan parti politik semakin terhakis. Ia seolah-olah mempermainkan undi rakyat," jelasnya.