X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 08 Julai 2022

14 langkah interim DBKL berjaya kurangkan banjir kilat di KL

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil : SHAHIDAN
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 14 langkah interim mitigasi banjir yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini telah berjaya mengurangkan kejadian banjir kilat di ibu kota pada Rabu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, banjir kilat yang berlaku pada Rabu menyaksikan langkah mitigasi yang diuar-uarkan sebelum ini menunjukkan keberhasilan apabila air surut dalam tempoh kurang dari 30 minit.

Menurutnya, sebanyak 120 pam air mudah alih yang digunakan bagi mengepam keluar air bertakung telah membantu mempercepatkan air surut.

"Kejadian semalam (Rabu) juga tidak melibatkan sebarang pemindahan penduduk dari kediaman masing-masing atau kejadian tanah runtuh.

"Pelaksanaan siren amaran banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sistem Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS) DBKL juga berjaya memberikan peringatan awal kepada warga kota terlibat untuk menghindari lokasi-lokasi banjir kilat, " katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, penggunaan 5,000 beg pasir di tebing sungai berjaya menghalang limpahan air dari Sungai Klang dan Sungai Gombak ke kawasan terjejas terutama di Jalan Segambut dan Jalan Ampang.

"Dalam hal ini, DBKL akan menambah 5,000 beg pasir untuk ditempatkan di kawasan-kawasan baharu yang dikenal pasti akan keberangkalian berlakunya banjir kilat serta di lokasi-lokasi sedia ada," katanya.

Katanya lagi, DBKL dan agensi-agensi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan (JPBNWP) akan meneruskan usaha seperti yang dirancang bagi mengurangkan lagi kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur.

"Ini termasuk beberapa tindakan mitigasi seperti pembinaan dinding tebatan banjir di lokasi terpilih di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak serta penggunaan ‘flap gate’ bagi menghalang pengaliran semula air dari Sungai Klang ke kawasan-kawasan lebih rendah akan dilaksanakan oleh DBKL dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya dan JPS.

"Saya amat menghargai khidmat bakti para petugas dan sukarelawan dalam misi mitigasi banjir kilat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang berada di semua kawasan ‘hotspot’ banjir di WPKL dan tekun melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan longkang atau saliran tersumbat," katanya.

Bagaimanapun katanya, lebih ramai sukarelawan diperlukan untuk ditempatkan di 25 lokasi ‘hotspot’ banjir di WPKL.

"Justeru Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL sedang dalam proses melantik lebih ramai sukarelawan bagi membantu aktiviti ‘plogging’ dan kerja-kerja pembersihan yang ternyata berkesan dalam membantu mengurangkan banjir kilat sekali gus menyelesaikan isu tersebut.

"Di samping itu, pihak Alam Flora juga telah disaran menambah kekerapan jadual kutipan sampah disamping memantau dan membantu melaporkan kepada DBKL akan kawasan-kawasan lambakan sampah pembinaan ke dalam longkang, seterusnya menjadi punca banjir kilat, " katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!