Hujan lebat, KL banjir lagi

Keadaan di Jalan Ampang setakat jam 12.40 tengah hari. - Foto FB Polis KL
Keadaan di Jalan Ampang setakat jam 12.40 tengah hari. - Foto FB Polis KL
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hujan lebat sekitar jam 10.30 pagi dan berterusan hampir dua jam pada Rabu telah menyebabkan beberapa jalan di ibu kota ditakungi air.

Menerusi Facebook Polis KL memaklumkan, setakat jam 12.20 tengah hari, sebanyak sembilan lokasi terjejas iaitu Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Jalan Ipoh, Jalan Imbi ke arah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ipoh/Jalan Rahmat, Jalan Sultan Ismail/ Ampang dan Jalan Kampar off Jalan Sentul.

Menurut kenyataan itu, lokasi lain turut terjejas adalah Bulatan Dato, Kampung Periuk, Jalan Duta Mas dan Jalan Ampang serta Jalan Dang Wangi.

"Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Jalan Ipoh, Jalan Imbi ke arah Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Ismail/Jalan Ampang mengalami banjir namun masih boleh dilalui kenderaan.

"Anggota berada di lokasi berkenaan bagi tujuan pemantauan," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Petugas DBKL sedang melakukan kerja mengalihkan air bertakung dan kawalan lalu lintas di Jalan Dutamas. - Foto FB DBKL
Petugas DBKL sedang melakukan kerja mengalihkan air bertakung dan kawalan lalu lintas di Jalan Dutamas. - Foto FB DBKL

Tambah kenyataan itu, air bertakung di Jalan Ipoh/Jalan Rahmat telah menyebabkan penutupan laluan dari arah Bulatan Pahang ke Jalan Ipoh dan Jalan Raja Laut ke arah Jalan Ipoh dilakukan.

Kata kenyataan itu, air bertakung di Jalan Ampang dan Jalan Dang Wangi disebabkan longkang tersumbat menyebabkan air tidak boleh dialirkan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya dan petugas DBKL sedang bertungkus-lumus mengawal lalu-lintas dan melakukan kerja-kerja mengeluarkan air yang tersekat di beberapa lokasi di sekitar ibu kota.

"Seramai 60 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur berada di lokasi dinaiki air sejak pagi tadi," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Anggota polis trafik sedang mengawal lalu lintas di lokasi banjir sekitar ibu kota pada Rabu.
Anggota polis trafik sedang mengawal lalu lintas di lokasi banjir sekitar ibu kota pada Rabu.

Sarifudin berkata, pihaknya mendapati di Jalan Ampang berhampiran KLCC, hujan lebat telah menyebabkan banjir selama 30 minit apabila saluran longkang tersumbat.

"Anggota JSPT bersama petugas DBKL di kawasan berkenaan berusaha mencari lubang yang tersekat dengan batu dan objek keras sebelum mengeluarkannya sekali gus membolehkan air keluar dengan lancar," katanya.

Menurutnya, antara laluan yang dilaporkan dinaiki air disebabkan saluran air yang tersumbat adalah di Jalan Ampang dan Jalan Dang Wangi.

"Berdasarkan pemantauan kita mendapati air naik sehingga 0.6 meter namun keadaan kini terkawal," katanya.

Beliau berkata, apa yang paling utama adalah keselamatan setiap pengguna jalan raya dan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

"Kita turut mengawasi lokasi-lokasi lain yang turut dinaiki air seperti Jalan Duta Mas 2, Jalan Ipoh, Jalan Chow Kit dan Lorong Balai Putra menuju ke Jalan Sultan Azlan Shah.

"Semua pegawai dan anggota JSPT sentiasa berada dalam keadaan bersiap-sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya ketika hujan lebat dan waktu puncak," ujarnya.