X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Tak henti zikir, selawat sepanjang tujuh hari hilang

Yaakub yang hilang selama tujuh hari dipeluk oleh anaknya selepas ditemui selamat di kawasan kebun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, Jeli pada Rabu.
A
A

JELI - Zikir dan selawat menjadi sumber kekuatan buat seorang pesara kakitangan awam, Yaakub Ismail, 76, sepanjang seminggu dia dilaporkan hilang di kawasan kebun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini, sebelum ditemukan selamat pada Rabu.

Yaakub yang hilang sejak 19 Mei itu ditemui oleh orang ramai yang turut serta dalam operasi dan menyelamat (SAR) pada jam 6.45 petang selepas berada dalam sebuah pondok berhampiran kawasan kejadian, kira-kira empat kilometer dari kawasan kebunnya.

Anak mangsa, Mohd Sufian Yaakub, 49, berkata, sepanjang tempoh tersebut ayahnya tidak putus-putus berzikir dan berselawat sepanjang perjalanan untuk mencari jalan keluar dari kawasan kebun tersebut.

"Ayah juga makan pisang hutan, daun-daun kayu dan minum air daripada lopak-lopak anak sungai bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tersesat di dalam hutan.

"Itu antara cerita yang dikongsikan oleh ayah kepada kami sebaik sahaja dia selamat ditemukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, dia bersyukur ayah ditemukan dalam keadaan sedar walaupun badan agak lemah selepas mengharungi perjalanan panjang untuk mencari jalan keluar selepas tersesat.

Katanya, mengikut cerita ayah, dia mahu melihat kawasan kebun sebelah yang baharu diusahakan namun terlajak jalan.

"Ayah telah cuba laluan baharu dan kemudian tersesat di kawasan tersebut. Alhamdulillah, kesihatan ayah bertambah baik pada hari ini dan dia kini sedang berehat di rumah di Kampung Berangan, Tumpat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pengamal perubatan tradisional dan penduduk kampung yang membantu mencari ayah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, ketika ditemukan mangsa berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa memberitahu sebelum hilang dia keluar dari kebunnya untuk melihat anak pokok getah.

"Kemudiannya, dilaporkan mangsa hilang arah disebabkan tidak tahu jalan untuk kembali semula ke kebun," katanya.

Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!