Bangunkan Pulau Besar sebagai industri koko

Pulau Besar tidak hanya terkenal sebagai destinasi pelancongan malah menjadi perangsang kepada pembangunan industri koko di negara ini sekali gus mempelopori pasaran antarabangsa seperti Eropah, China, Arab Saudi, Asia Barat dan sebagainya. (Gambar kecil: Shamsul)
Pulau Besar tidak hanya terkenal sebagai destinasi pelancongan malah menjadi perangsang kepada pembangunan industri koko di negara ini sekali gus mempelopori pasaran antarabangsa seperti Eropah, China, Arab Saudi, Asia Barat dan sebagainya. (Gambar kecil: Shamsul)
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pulau Besar dilihat berpotensi sebagai hub untuk membangunkan industri berasaskan koko di negeri ini.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar berkata, cadangan itu berdasarkan lokasi yang strategik dan produk halal seperti itu mampu membantu untuk meluaskan pasaran eksport.

Menurutnya, sekiranya dapat direalisasikan, Pulau Besar tidak hanya terkenal sebagai destinasi pelancongan malah menjadi perangsang kepada pembangunan industri koko di negara ini sekali gus mempelopori pasaran antarabangsa seperti Eropah, China, Arab Saudi, Asia Barat dan sebagainya.

"Perancangan itu akan menjadikan pulau berkenaan sebagai sebuah 'one stop centre' bagi memperkenalkan industri koko tempatan.

"Walaupun persaingan (koko) dijangka agak sengit namun dengan kekuatan industri halal yang ada di negara kita yang banyak mengeluarkan produk halal ia akan membantu untuk meluaskan pasaran eksport," katanya.

Tambahnya, penubuhan sebuah pusat koko di pulau itu akan menambahkan sebuah lagi produk pelancongan di negeri ini dan menjana pendapatan penduduk setempat.

"Kita harap kerajaan negeri sama-sama menyokong usaha ini dengan bekerjasama dengan kementerian kerana peluang ini berpotensi untuk memajukan negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelbagai inisiatif ditawarkan kerajaan dalam membangunkan industri terbabit dengan pembiayaan dan bantuan yang akan disalurkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, industri berkenaan akan menyediakan peluang pekerjaan baharu seperti perniagaan konfeksi dan bakeri yang diusahakan oleh masyarakat tempatan.

"Mereka boleh bekerjasama dengan kementerian yang lain seperti Kementerian Pembangunan Usahawan untuk bangunkan dengan bantuan modal selain memohon kepada koperasi dalam menceburi bidang perniagaan yang mampu membawa imbuhan kepada kadar ekonomi negara ini," katanya.