Ismail Sabri tiba di Tokyo untuk lawatan sulung ke Jepun

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di ibu negara Jepun di sini malam ini bagi memulakan lawatan kerja rasmi ke Jepun, dengan beberapa pertemuan berprofil tinggi telah diatur bagi memenuhi lawatan enam hari itu.

Lawatan pertama Ismail Sabri ke Jepun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 21 Ogos lepas ini, merupakan lawatan paling berprofil tinggi ke negara matahari terbit itu selepas lebih dua tahun, susulan sekatan perjalanan disebabkan pandemik Covid-19.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada kira-kira jam 11.10 malam (10.10 malam waktu Malaysia), dan Ismail Sabri kemudiannya terus dibawa ke hotel penginapannya.

Yang berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaannya termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor' Azam Mohd Idrus; Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Tenggara Kementerian Luar Jepun, Kano Takehiro dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Ismail Sabri dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Fumio Kishida, yang baru memegang jawatan itu Oktober lepas, dalam lawatannya ini.

Pertemuan secara fizikal itu akan memberikan peluang kepada Malaysia dan Jepun berbincang mengenai inisiatif mengukuhkan lagi hubungan sedia ada Malaysia-Jepun dan kolaborasi pelbagai bidang, di samping membolehkan kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan berhubung kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau.

Menurut kenyataan Wisma Putra, agenda utama pertemuan Ismail Sabri dan Kishida termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur, dan kerjasama pasca Covid-19.

Semasa di Tokyo, Ismail Sabri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia, perhimpunan tahunan pemimpin politik dan ekonomi serta ketua industri dari rantau Asia Pasifik, atas jemputan Nikkei Inc, di samping menyampaikan ucaptama di Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo bertemakan "Redefining Asia’s Role in a Divided World”

Artikel Berkaitan:

"Lawatan itu mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia-Jepun kerana kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) tahun ini," kata Wisma Putra.

Pada 2021, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan bernilai kira-kira RM149 bilion. Sehingga 2021, Jepun adalah pelabur asing ketiga terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek yang dilaksanakan bernilai kira-kira RM90.9 bilion.

Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Jepun akan menandatangani memorandum kerjasama dalam tiga bidang membabitkan industri pesawat udara, pekerja mahir, serta belia dan sukan semasa lawatan itu.

Ismail Sabri juga dijadualkan bertemu dengan pemimpin korporat dan ahli perniagaan terkemuka dari beberapa syarikat terkemuka di Jepun bagi menarik kehadiran lebih banyak pelaburan asing.

Ismail Sabri akan diiringi beberapa menteri kabinet semasa lawatan.

Mereka termasuk Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot Jaem. - Bernama