Jepun mahu kukuh hubungan, keselamatan maritim dengan Malaysia

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Jepun menantikan lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu minggu ini, kata Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.

Beliau berkata, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida telah bercakap dua kali melalui telefon dengan Ismail Sabri dan ini merupakan pertemuan bersemuka pertama di antara dua pemimpin itu.

“Kami mahu mengambil peluang ini untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mengembangkan kerjasama strategik antara Jepun dan Malaysia.

“Kerjasama strategik ini bukan sahaja melibatkan ekonomi, tetapi juga politik dan keselamatan,” katanya kepada Sinar Daily pada Isnin.

Tahun ini merupakan Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur dan tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Takahashi memaklumkan bahawa beliau juga akan berada di Jepun untuk mengalu-alukan kedatangan Ismail Sabri sepanjang lawatannya selama lima hari.

Pada masa ini jelasnya, terdapat kira-kira 1,500 syarikat Jepun di Malaysia yang menawarkan sehingga 470,000 peluang pekerjaan.

Semasa Covid-19 beliau berkata, pelaburan Jepun ke Malaysia kekal dengan RM6.2 bilion dan setakat ini syarikat Jepun telah melabur RM82.7 bilion secara keseluruhan.

Tambahnya, sebaik sahaja Malaysia menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menjelang suku ketiga 2022, ia akan memudahkan lagi liberalisasi perdagangan dan pelaburan kerana ia juga akan menurunkan kadar tarif.

"Kami juga memandang ke hadapan," katanya sambil menambah bahawa United Kingdom (UK), China dan Taiwan juga berminat untuk menyertai perjanjian tersebut.

Selain hubungan ekonomi, rakyat Malaysia turut menikmati budaya Jepun melalui animasi dan animasi Manga yang terkenal.

Selain daripada mengadakan pertandingan animasi manga antarabangsa,rakyat Malaysia juga akan berpeluang mempelajari animasi Jepun dan ilustrasi Manga melalui sekolah pereka Nippon yang akan dibuka bulan depan.