Mejar Mazlina cuai tapi saya yang kena: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang cuai tapi akhirnya saya yang kena," kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika prosiding bela diri bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ketika dirujuk satu dokumen dan dua cek oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Ahmad Zahid berkata, ia adalah satu penyata kad kredit miliknya dengan baki semasa adalah sebanyak RM136,604.58.

Bagaimanapun beliau berkata, saksi pendakwaan ke-90, Mejar Mazlina yang juga bekas setiausaha eksekutifnya, telah membuat pembayaran kepada bank sebanyak RM155,183.

Ahmad Zaidi: Boleh Datuk Seri jelaskan pada saya, sebab saya tak faham, sampai ke hari ini dari mana datangnya RM155,183?

Ahmad Zahid: Inilah yang saya sendiri tak faham, kenapa bayar lebih dan kadang-kadang bayar kurang, ertinya ini (Mejar Mazlina) cuai tapi akhirnya yang kena saya. Adakah ini satu keadilan?

Ahmad Zaidi: Saya sendiri tak boleh jelaskan, dari mana Mejar Mazlina dapat RM155,183? Boleh Datuk Seri jelaskan?

Ahmad Zahid: Saya tak boleh jelaskan, hanya dia (Mejar Mazlina) sahaja yang tahu.

Justeru itu, beliau mempersoalkan mengapa beliau yang dituduh di mahkamah atas kesalahan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi sedangkan perbuatan itu disebabkan oleh kecuaian Mejar Mazlina dalam membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya.

Presiden UMNO itu berkata, selaku kakitangan bank terlatih, beliau tidak akan beri kebenaran sebaliknya akan menghentikan perbuatan Mejar Mazlina serta-merta.

Bukan itu sahaja beliau berkata, bekas setiausaha eksekutifnya itu tidak pernah menyerahkan, menunjukkan penyata kad kredit bulanan dan cek-cek yang telah diisukan kepadanya.

"Saya ingin menyatakan bahawa penyata bank bulanan peribadi milik saya dan Yayasan Akalbudi tidak pernah ditunjukkan kepada saya walaupun telah diminta daripada Mejar Mazlina.

"Saya ingin tegaskan bahawa saya akan menghentikan perbuatan Mejar Mazlina jika saya tahu bahawa beliau telah mengisukan pembayaran secara lebihan atau kurang bagi tujuan pembayaran kad kredit saya," katanya.

Ketika prosiding pagi Isnin, Ahmad Zahid menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan 23 cek bagi pertuduhan pertama, iaitu 19 daripada 23 cek berkenaan menggunakan cop tandatangan.

Malah katanya, ia disahkan oleh Pemeriksa Dokumen daripada Jabatan Kimia, Siti Nur Musliha (saksi pendakwaan ke-31).

Selain itu katanya, Mejar Mazlina turut mengesahkan telah menggunakan cop bagi empat lagi keping lain.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding di hadapan Hakim Sequerah bersambung petang ini.