X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Kenyataan MB Kedah Dangkal: Mohd Hairi

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Hairi
A
A

KENYATAAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak tempatan disifatkan sebagai suatu yang dangkal dan tidak sepatutnya keluar daripada mulut pemimpin nombor satu negeri.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kenyataan pemimpin dari Kedah itu juga dilihat semakin melampau dan biadab apabila menggunakan sentimen agama secara sinis.

“Saya amat kesal dan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Besar Kedah ini. Saya melihat sukan dan bola sepak sebagai satu elemen penyatuan, tetapi dengan kenyataan dangkal Menteri Besar Kedah, inilah punca yang memecahbelahkan kesatuan dan penyatuan rakyat.

“Bola Sepak tidak memerlukan pemimpin seperti ini, yang hanya pandai mengeruhkan keadaan dan melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Sepatutnya pemimpin yang baik menggunakan bola sepak sebagai elemen menyatupadukan semua bangsa tidak kira agama dan warna kulit,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, kewujudan 'tokong' itu turut memberi kesan kepada mana-mana pasukan untuk bermain secara adil dan bersih ketika beraksi.

Menurutnya beliau, bola sepak adalah sukan untuk semua, bukannya dikawal oleh individu sehingga menyebabkan adanya situasi yang memerlukan persetujuan daripada 'tokong' terbabit.

Mohd Hairi yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor berkata, sebagai seorang pemimpin daripada parti Islam, kenyataan seperti itu juga tidak sepatutnya keluar dari mulut beliau yang mana dilihat hanya mahu meraih populariti murahan.

“Ia juga adalah satu perkara menjengkelkan apabila keluar daripada mulut seorang menteri besar. Kenapa gunakan perkataan tokong? Teruk sangat atau buruk sangat ke tokong itu sehingga perlu dinaratifkan seperti itu.

“Kita sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama tidak sepatutnya menggunakan sentimen seperti ini. Sekarang sudah tahun 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin itu turut menasihatkan agar Muhammad Sanusi berhenti daripada mengejar populariti murahan serta sibuk mengulas hal negeri lain berbanding negerinya.

“Fokuslah bantu rakyat dan negeri sendiri, itu lebih baik. Saya nak tanya, berapa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah setakat ni? Negeri lain pun ada menteri besar, tapi tidaklah macam ini, sungguh memalukan,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!