Taman-Taman Sabah bakal naikkan yuran masuk

Maklarin (kanan) ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Hari Pewartaan Taman Tun Mustapha, di Kudat.
Maklarin (kanan) ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Hari Pewartaan Taman Tun Mustapha, di Kudat.
A
A
A

KUDAT - Taman-Taman Sabah (TTS) bakal menaikkan yuran kemasukan bagi semua produk di bawah seliaannya.

Pengarah TTS, Dr Maklarin Lakim berkata, kenaikan yuran itu perlu dilakukan memandangkan pihaknya tidak pernah menyemak semula yuran kemasukan ke taman sejak 20 tahun lalu.

"Memang ada usul (cadangan naikkan yuran) sebab dari dulu sejak 20 lalu kita tidak pernah menyemak harga ini tetapi kos penyelenggaraan kita dari hari ke hari meningkat.

"Kita sudah tahu bahawa kutipan itu tidak lagi mampu menampung kos pemuliharaan, jadi terdapat keperluan untuk meningkatkan kutipan hasil tanpa menjejaskan alam sekitar," katanya dalam sidang media selepas hadir pada majlis Hari Pewartaan Taman Tun Mustapha, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas jika ada cadangan untuk menyelaraskan semula yuran kemasukan ke lokasi-lokasi di bawah jagaan TTS.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi penjualan tiket kemasukan ke lokasi di bawah TTS akan menampung semula kos yang diperlukan untuk tujuan penjagaan dan penyelenggaran produk TTS.

"Contohnya, kita jual tiket masuk itu dengan kenaikan harganya selaras dengan harga barang makanan supaya kutipan kita itu mampu menampung kos pemuliharaan dan penjagaan taman yang mana sekarang ini tidak seimbang dan kita banyak bersifat subsidi kerajaan negeri untuk menampung kos berkenaan.

"Jadi perkara ini akan diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dalam masa terdekat," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa TTS tidak pernah menyemak secara menyeluruh mengenai harga tiket bagi produk di bawah taman berkenaan.