Kerajaan usaha hapus jurang pembangunan semenanjung, Sabah

Ismail Sabri.- Foto fail Bernama
Ismail Sabri.- Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan sedang berusaha menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah termasuk menerusi pembinaan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol yang dibina di Sabah bakal mampu mengubah keseluruhan kawasan di negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Pada masa sama, kerajaan juga terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pedalaman Sabah.

"Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion.

"Sememangnya menjadi harapan Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti mana juga negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap melancarkan siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menteri-menteri kabinet negeri dan pegawai kanan kementerian.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan berusaha merealisasikan sasaran sifar miskin tegar di 10 lokaliti di Sabah menjelang akhir 2025 seperti ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menerusi penglibatan holistik semua jabatan serta agensi berkaitan.

Beliau berkata, 10 lokaliti yang telah dikenal pasti bagi fasa satu Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sabah itu melibatkan Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.

Menurutnya, program pembasmian kemiskinan sebelum ini dilaksanakan secara ‘silo’ di hampir semua agensi terlibat, namun, kini peranan semua entiti digabungkan, dengan Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai penyelaras dan pemudah cara program tersebut.

"Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak termasuk peringkat akar umbi bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai.

"EPU dan ICU akan menjadi penyelaras menggabungkan semua pihak yang terlibat seperti kementerian, kerajaan negeri, ahli akademik, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil untuk mencari kaedah terbaik bagi menghapuskan miskin tegar secara holistik berasaskan lokaliti,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan Persekutuan sentiasa berperanan sebagai anggota keluarga amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama apa yang sepatutnya diperoleh oleh Keluarga Malaysia di Sabah.

Dengan semangat Keluarga Malaysia, beliau berkata kerajaan berharap sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dipertimbangkan dengan sebaiknya menerusi Jawatankuasa Peringkat Persekutuan bagi membincangkan tuntutan negeri itu menerusi MA63.

Menyedari pentingnya kerjasama antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketat kawalannya, Perdana Menteri berkata Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan perairan Sabah. - Bernama