Selangor guna kaedah alternatif pengeluaran makanan haiwan ternakan

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor akan melaksanakan kaedah alternatif bagi pengeluaran makanan untuk ternakan khususnya ayam dan haiwan ruminan seperti lembu dan kambing dalam masa terdekat.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, inovasi yang disifatkan berjaya berdasarkan kajian dan pelaksanaannya oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu merupakan antara usaha mengurangkan kenaikan harga makanan haiwan ternakan.

"Penyelidikan UKM ini telah dilakukan dua tahun lalu, sudah diaplikasikan di Kedah dan ia bakal dilaksanakan di Selangor. Kaedah pelaksanaannya akan diperincikan dalam masa terdekat.

"Dengan kerjasama UKM, kita yakin dapat mengurangkan kos pengeluaran makanan khususnya harga makanan ayam kepada 70 sen sekilogram berbanding RM1.70 sekilogram pada masa ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai bekalan ayam, Izham berkata, rakyat Selangor tidak perlu khuatir berhubung perkara tersebut kerana ia masih terkawal terutama apabila kerajaan telah bersetuju untuk tidak mengenakan permit import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan yang berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, isu di Selangor adalah lebih terarah kepada masalah bekalan makanan ternakan dan bukannya hanya tertumpu kepada masalah bekalan ayam.

"Sebab itu, buat permulaan kita bekerjasama dengan Negeri Sembilan semalam dalam mengusahakan tanaman jagung bijirin (untuk makan ayam),” katanya. - Bernama