Tiga warga Indonesia ditahan jual jeruk di lampu isyarat

Tiga lelaki warga Indonesia ditahan polis kerana menjual jeruk dan buah-buahan di persimpangan lampu isyarat laluan utama sekitar Johor Bahru.
Tiga lelaki warga Indonesia ditahan polis kerana menjual jeruk dan buah-buahan di persimpangan lampu isyarat laluan utama sekitar Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga lelaki warga Indonesia kerana masih berdegil menjual jeruk dan buah-buahan di persimpangan lampu isyarat laluan utama sekitar Johor Bahru, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, kesemua suspek berusia dari 26 hingga 40 tahun itu ditahan di satu persimpangan lampu isyarat di Bandar Baru Uda, di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Difahamkan, kesemua suspek yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan mereka turut disiasat di bawah Akta Imigresen.

“Kami menahan tiga lelaki warga asing yang sedang rancak menjaja dan mengharapkan simpati pengguna jalan raya lain untuk membeli jualan mereka.

“Hasil siasatan mendapati buah jeruk yang dijual suspek disorok di belakang sebuah kedai haiwan seperti yang dimaklumkan orang awam.

“Barangan jualan iaitu 50 balang mengandungi kira-kira 400 jeruk jenis mangga dan jambu itu kemudian dirampas pihak berkuasa tempatan (PBT) selain suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Kumarasan berkata, pihaknya percaya masih terdapat segelintir penjaja yang masih berdegil dan berani menjalankan kegiatan itu walaupun kerap kali operasi untuk menegah kesalahan itu dilakukan.

“Bagi kes ini, kita percaya suspek yang ditahan ingin mengambil jalan mudah dengan menagih simpati tetapi menutup muka mereka bagi mengaburi pandangan orang awam.

“Ia merupakan satu kesalahan kerana tindakan mereka ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi pengguna jalan raya lain jika berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti menjaja di atas jalan awam merupakan kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kaedah 10A(1) dan Kaedah 10A(2) LN 166/59.

“Undang-undang ini juga boleh dikenakan hukuman kepada mana-mana individu yang menjalankan jual beli di jalan awam termasuk pihak yang membeli.

“Justeru, saya ingin mengingatkan persepsi dan rasa simpati terhadap golongan ini perlu difikirkan secara jelas kerana dipercayai ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil peluang menggajikan warga asing untuk mengaut keuntungan cepat,” katanya.