Pemandu kereta sapu lari elak dicekup JPJ

Mohd Misuari (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada kereta sapu yang ditahan anggota JPJ Kelantan menerusi Op Sapu awal pagi Khamis.
Mohd Misuari (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada kereta sapu yang ditahan anggota JPJ Kelantan menerusi Op Sapu awal pagi Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Cubaan seorang lelaki yang menjalankan aktiviti kereta sapu melarikan diri dengan memecut laju kenderaannya gagal selepas ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menerusi Op Sapu awal pagi Khamis.

Anggota JPJ sebelum itu terpaksa mengejar kereta sapu itu sejauh 11 kilometer sebelum berjaya menahan pemandunya di Pasir Pekan, Tumpat.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, anggota bertugas menyamar sebagai penumpang untuk menahan individu yang menjalankan kegiatan kereta sapu.

"Setibanya di destinasi yang ditetapkan, anggota bertugas kemudian turun dari kereta tersebut dan cuba menahan individu berkenaan," katanya semasa ketika sidang akhbar di pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini pada Khamis.

Menurutnya, pemandu kereta itu bertindak melarikan diri sejurus menyedari kegiatannya dihidu oleh anggota JPJ tetapi suspek berjaya ditahan.

Mohd Misuari berkata, Op Sapu yang dilakukan JPJ Kelantan itu susulan tular satu video kekecohan berkait aktiviti kereta sapu yang berebut penumpang secara terbuka dan agresif di Terminal Bas Lembah Sireh sebelum ini.

"Seramai 22 anggota termasuk Ketua Bahagian Pengarah Penguatkuasa JPJ Kelantan menyertai Op Sapu bermula jam 3 hingga 9 pagi tadi," katanya.

Menurutnya, menerusi Op Sapu itu JPJ Kelantan telah menyita empat buah kenderaan persendirian dari jenis Proton Pesona, Proton Iswara, Perodua Bezza dan Toyota Avanza yang menjalankan aktiviti tersebut.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"JPJ Kelantan mengambil serius perkara tersebut dan akan terus memperhebatkan operasi dalam membanteras aktiviti ini.

"Orang ramai dinasihatkan tidak memilih kereta sapu sebagai pengangkutan kerana penumpang tidak dilindungi insurans dan boleh mengundang risiko jika berlaku kemalangan," katanya.