X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Johor kekurangan jururawat, ramai hijrah ke Singapura

Tian Soon (tengah) dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu pada majlis Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa, Johor Bahru pada Khamis
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam terdekat bagi membincangkan masalah kekurangan antara 15,000 hingga 18,000 jururawat di Johor.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, antara punca kekurangan jururawat dan doktor di negeri ini kerana ramai yang berhijrah untuk bekerja dalam sektor perkhidmatan kesihatan di Singapura.

"Mereka mendapat tawaran yang lebih baik. Kita tidak ada statistik khusus berapa ramai jururawat dan doktor kita yang bekerja di Singapura tetapi bilangannya semakin bertambah setiap tahun.

"Kita juga menjangkakan lebih ramai pergi bekerja di Singapura kerana nilai ringgit yang semakin susut ketika ini. Walaupun begitu saya percaya ramai jururawat yang masih mahu berkhidmat di negara ini.

"Difahamkan antara sebab jururawat kita bekerja di Singapura kerana menerima gaji seperti gaji seorang doktor pakar di Malaysia apabila sudah ditukar mata wang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa di sini pada Khamis.

Tian Soon berkata, setakat ini terdapat 12,533 jururawat di Johor melibatkan 8,777 jururawat yang berkhidmat di hospital kerajaan, 19 lagi berstatus jururawat kontrak dan 3,737 adalah jururawat di hospital swasta.

"Jumlah perjawatan bagi jururawat di negeri ini sudah 98 peratus diisi tetapi masih lagi tidak cukup memandangkan program kesihatan dan perkhidmatan semakin bertambah selain hospital baharu yang perlukan jururawat," katanya.

Menurutnya, nisbah seorang jururawat adalah untuk 297 pesakit pada masa ini berbanding nisbah yang sepatutnya iaitu seorang jururawat untuk 200 pesakit.

Katanya, bagi mengatasi jumlah jururawat sedia ada yang tidak mencukupi itu, pertemuan dengan Khairy nanti akan membincangkan kaedah serta tawaran terbaik bagi mengatasi masalah itu.

Jelas beliau, ini termasuk memberikan tawaran yang baik kepada jururawat dan doktor untuk menghalang mereka daripada terus berhijrah ke republik tersebut.

"Antara yang akan dicadangkan dalam pertemuan itu nanti, menawarkan lepasan universiti untuk mengambil kursus kejururawatan sebelum menyerap mereka dalam sektor perkhidmatan kesihatan di negeri ini," katanya.

Menurutnya, tahap keperluan jururawat di negeri ini masih belum kritikal tetapi ketidakcukupan itu perlu diisi supaya perkhidmatan kesihatan tidak terjejas dan dapat diberikan dengan terbaik serta berkesan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!