Tak serik buat jenayah

Eng Lai (depan) menunjukkan barang-barang hasil curi yang berjaya ditemui dalam serbuan tersebut.
Eng Lai (depan) menunjukkan barang-barang hasil curi yang berjaya ditemui dalam serbuan tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada Isnin kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Mastiara di sini pada 14 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 7.25 malam itu, ibu pengadu yang berusia 82 tahun tinggal bersendirian di rumah.

“Ketika kejadian, seorang wanita warga emas berada di dalam rumah berkenaan, namun dia tidak diapa-apakan oleh suspek.

“Dalam kejadian itu, komputer riba, tablet, empat jam tangan, beberapa keping kad bank, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM6,200 dilarikan oleh suspek membabitkan kerugian kira-kira RM20,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Khamis.

Beliau berkata, bertindak di atas maklumat, pihaknya melancarkan serbuan di sekitar Selayang, Kajang dan Seri Kembangan, Selangor, dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 43 tahun.

“Dalam tangkapan itu, kami merampas empat telefon bimbit, beberapa barang kemas, dua jam tangan, tiga beg berjenama, tiga komputer riba, tiga tablet serta pakaian digunakan suspek ketika kejadian.

“Selain itu, kami turut merampas sebuah kereta, enam playar pemotong dan satu playar boleh laras disyaki digunakan untuk melakukan samun,” katanya.

Antara peralatan dirampas yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan pecah rumah.
Antara peralatan dirampas yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan pecah rumah.

Menurut Eng Lai, modus operandi sindiket itu adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan memanjat pagar rumah mangsa yang terletak di kawasan terpencil sebelum memotong pagar jeriji.

“Semakan dilakukan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah termasuk seorang daripada mereka mempunyai 32 rekod jenayah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati semua suspek juga positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya satu kes samun di ibu kota dan dua di Selangor.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kaitan sindiket berkenaan dengan kes pecah rumah lain di Lembah Klang.

“Semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.