X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

18 wabak HFMD dikesan di taska di Johor

Lapan wabak HFMD dikesan di rumah persendirian, tiga wabak di tadika dan satu wabak di pusat jagaan kanak-kanak. - Foto hiasan
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 18 wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dikesan di taska di Johor sehingga Minggu Epid 19/2022, sekali gus menjadikannya lokasi utama penularan penyakit itu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata, selain taska, lapan wabak HFMD dikesan di rumah persendirian, tiga wabak di tadika dan satu wabak di pusat jagaan kanak-kanak.

Beliau berkata, sebanyak 1,237 kes HFMD telah dilaporkan bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Mei tahun ini, peningkatan 12.8 kali ganda, berbanding 97 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

"Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu sebanyak 1,127 kes (91 peratus), diikuti kanak-kanak daripada kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 94 kes (lapan peratus) manakala kes selebihnya berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga kini, sebanyak tujuh wabak aktif HFMD dilaporkan dengan daerah tertinggi mencatatkan kejadian wabak aktif ialah Kluang (lima wabak), diikuti daerah Tangkak (dua wabak)," kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran projek nyamuk aedes berwolbachia di PPR Kempas, di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, Tian Soon berkata, penularan wabak HFMD di taska masih dalam keadaan terkawal dan tiada arahan penutupan dikeluarkan untuk taska setakat ini.

Justeru, pengusaha-pengusaha taska dinasihati untuk memantau secara dekat anak-anak di bawah jagaan mereka terutama yang mempunyai simptom HFMD bagi mengelakkan penularan berterusan di lokasi berkenaan.

"Sama seperti situasi Covid-19, pengusaha taska perlu pantau simptom kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

"Jika kanak-kanak mempunyai simptom HFMD mereka dinasihatkan pulang ke rumah untuk menjalani kuarantin dan segera bertemu doktor bagi mendapatkan rawatan," kata Tian Soon. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!