Negeri Sembilan teliti semula punca banjir di Johol

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti semula dakwaan berlakunya banjir luar biasa di Johol yang dipercayai disebabkan aktiviti pembukaan tanah hutan di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun kejadian banjir pada Isnin lepas bukan disebabkan aktiviti pembalakan.

"Saya berpendapat bukan disebabkan pembalakan, tetapi kawasan itu dijadikan tanaman semula pokok kerana balak sudah lama keluar, tiada lagi aktiviti pembalakan baharu, namun saya akan semak semula perkara tersebut.

"Tetapi kita kena ingat bahawa kejadian banjir itu disebabkan hujan berterusan seharian dan hujan lebat bukan sahaja di Johol, tetapi turut berlaku di Port Dickson, Seremban dan kawasan lain di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, aktiviti pembukaan tanah hutan di sekitar kawasan Johol di sini dipercayai menjadi antara penyumbang kepada kejadian banjir luar biasa yang berlaku pada Isnin di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman berkata, kejadian banjir kali ini menyebabkan laluan di jalan Kampung Batu-Inas menghala Kuala Pilah berlaku runtuhan tanah, cerun dan pokok tumbang.

Tambah Aminuddin lagi, selain itu kejadian banjir berkenaan juga bergantung kepada jumlah hujan dan sekiranya disebabkan kesilapan manusia (punca banjir) pihaknya akan mengambil tindakan seterusnya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, tanaman jagung bijian akan dibangunkan di tapak projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) di Gemas, Tampin seluas 161 hektar.

"Hari ini pihak MBI Negeri Sembilan akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk projek usahasama tanaman jagung bijian menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan.

"Diharap projek ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan tersebut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya perlu bersedia lebih awal untuk memulakan tanaman bijian seperti ini bagi mengelakkan krisis bekalan makanan antaranya isu minyak sawit di Indonesia dan gandum di India.

"Ini tanda-tanda kita kena bersedia dari sekarang, biar ia mula secara kecil yang penting ada permulaan. Jangan lambat, kita khuatir bekalan makanan tidak mencukupi dan akhirnya harga makanan terus meningkat dan kemudian membebankan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya akan terus melihat tapak-tapak yang bersesuaian di negeri ini untuk dibangunkan tanaman selain jagung.