Kertas siasatan polis iring anak ahli Parlimen dirujuk TPR

Klip video mengenai kejadian dua anggota trafik mengiringi sebuah kenderaan awam yang tular di media sosial.
Klip video mengenai kejadian dua anggota trafik mengiringi sebuah kenderaan awam yang tular di media sosial.
A
A
A

GEORGETOWN - Siasatan terhadap klip video yang tular berhubung dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan awam di Jalan Bukit Gambir dalam kejadian pada 7 Mei lalu sudah siap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis turut merakamkan percakapan anak kepada ahli Parlimen yang merupakan pemandu kereta tersebut.

"Kita sudah merakam percakapan pemandu kereta yang juga anak kepada ahli Parlimen yang diiringi dua anggota polis trafik tersebut.

"Kertas siasatan kes tersebut telah lengkap dan akan dirujuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam.

Polis memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia melibatkan kesalahan menggunakan media sosial.

Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial sejak 7 Mei lalu itu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.

Susulan daripada itu, dua anggota polis trafik tersebut telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes berkenaan selesai.

Mohd Shuhaily berkata, setelah siasatan dalaman dijalankan, pihaknya mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, Ibupejabat Polis Bukit Aman atau Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan itu dilaksanakan.