Kompleks Ibu Pejabat Maritim Selangor dibina tahun depan

Saiful Lizan hadir ke Ibu Pejabat Maritim Selangor bagi menyaksikan serah terima tugas jawatan Pengarah Maritim Selangor pada Rabu.
Saiful Lizan hadir ke Ibu Pejabat Maritim Selangor bagi menyaksikan serah terima tugas jawatan Pengarah Maritim Selangor pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Kompleks Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor baharu dijangka dibina di sini pada tahun hadapan, kata Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Menurutnya, cadangan pembinaan kompleks ibu pejabat itu telah dibuat beberapa tahun lalu.

"Ada beberapa cadangan tapak di sekitar Pelabuhan Klang telah kita (Maritim) terima daripada pelbagai pihak, namun ia masih belum diputuskan.

"Di peringkat pelaksanaan kita telah letak keutamaan di Selangor untuk membina ibu pejabat di Klang dan sekiranya semua berjalan lancar, akan ada perkembangan pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Selangor di Ibu Pejabat Maritim Selangor di sini pada Rabu.

Saiful Lizan berkata, peruntukan dianggarkan berjumlah RM300 juta hingga RM400 juta bergantung kepada keadaan geografi lokasi.

Katanya, mungkin jumlah ini akan lebih kerana ia berhampiran dengan laut dan melibatkan kerja tambakan serta pembinaan jeti yang besar berbanding kos di darat.

"Pembinaan ibu pejabat di keluasan 20 ekar ini kebiasaan akan mengambil masa dua hingga dua tahun setengah.

"Dalam proses ini, perlu ada tanah dahulu sebelum pembinaan dijalankan. Tahun ini, kita sedang berusaha untuk menyelesaikan urusan tanah. Jika tahun ini selesai, tahun hadapan pembinaan boleh dijalankan," katanya.

Mengulas berkenaan perolehan aset Maritim Malaysia, beliau berkata, penerimaan tiga aset kapal jenis Ronda Persisir Pantai (OPV) akan diselesaikan secepat mungkin.

"Aset lain yang turut akan diterima adalah empat buah helikopter serta kapal induk.

"Kita juga mempunyai perancangan bagi menggantikan aset lama secara berperingkat dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) juga telah memberi keutamaan berkaitan isu ini," katanya.