Kadar jenayah pecah rumah di Melaka naik

Zainol (kiri) menyaksikan Pegawai Eksekutif Urbanism, Samson Sim (dua dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Kalsom pada Program Keselamatan dan Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ayer Keroh pada Selasa.
Zainol (kiri) menyaksikan Pegawai Eksekutif Urbanism, Samson Sim (dua dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Kalsom pada Program Keselamatan dan Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ayer Keroh pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kadar jenayah termasuk pecah rumah di Melaka pada musim Aidilfitri tahun ini meningkat hampir 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, bermula 25 April hingga 15 Mei lalu, sebanyak 79 kes jenayah direkodkan berbanding 72 kes antara 3 hingga 23 Mei pada tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 61 kes membabitkan jenayah harta benda dengan kes pecah rumah dan curi merekodkan 33 kes, curi (14), curi motosikal (13) dan satu kes curi kereta.

"Baki 18 kes adalah jenayah kekerasan termasuk mencederakan sebanyak 12 kes, samun berkawan tanpa senjata api (3), rogol (2) dan samun tanpa senjata api satu kes direkodkan.

"Angka perbandingan yang direkodkan itu sempena pelaksanaan Op Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bermula seminggu menjelang Aidilfitri dan dua minggu selepas itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Keselamatan dan Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin.

Jelas Zainol, 72 kes yang direkodkan pada tahun lalu termasuk 56 kes melibatkan jenayah harta benda dan selebihnya adalah jenayah kekerasan.

"Kes pecah rumah pada tahun ini berlaku peningkatan sebanyak 12 kes iaitu daripada 21 kes pada tahun lalu kepada 33 kes tahun ini," katanya.

Beliau berkata, Polis Melaka akan melipatgandakan usaha untuk mencegah sebarang kejadian jenayah terutama pada musim perayaan.

Dalam perkembangan lain, Zainol berkata, Melaka merupakan negeri keenam tertinggi kes kemalangan dengan jumlah sebanyak 683 kes dilaporkan sepanjang Op Selamat 18 yang lalu.

Menurut beliau, angka itu menyaksikan peningkatan sebanyak tujuh kes berbanding pada Op Selamat 15 yang merekodkan 676 kes.

"Bagaimanapun kes kemalangan maut pada operasi tahun ini mencatatkan penurunan iaitu hanya empat kes kemalangan maut berbanding lima kes pada Op Selamat 15," katanya.