Jalan Kampung Batu-Inas dibuka petang ini

Laporan Sinar Harian berhubung penutupan jalan di jalan Kampung Batu-Inas.
Laporan Sinar Harian berhubung penutupan jalan di jalan Kampung Batu-Inas.
A
A
A

KUALA PILAH - Jalan Kampung Batu-Inas menghala ke Kuala Pilah berhampiran Kampung Kabong di sini dijangka dibuka semula kepada semua jenis kenderaan selepas jam 6 petang Selasa.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah menerusi satu kenyataan memaklumkan, penutupan laluan tersebut disebabkan kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat pada Isnin.

"Ia membabitkan kawasan berbukit antara Seksyen 6.7 hingga Seksyen 11 yang menghalang sepenuhnya lalu lintas.

"Pengguna jalan raya ke arah Rembau adalah dimohon untuk menggunakan laluan alternatif melalui Laluan FT051 Jalan Kuala Pilah–Seremban atau Laluan FT009 Kuala Pilah-Tampin bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh di lokasi berkenaan kira- kira jam 3.30 petang.

Katanya, laluan berkenaan telah ditutup sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja -kerja pembersihan oleh pasukan penyelamat dan agensi bertanggungjawab.