Pendaki sesat tiada permit, masuk hutan lebih jam 2 petang

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Banang, Hutan Simpan Banang, Batu Pahat pada Sabtu lalu didakwa melanggari peraturan bagi sebarang aktiviti pendakian yang telah ditetapkan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Datuk Salim Aman berkata, pendakian itu juga didapati melanggari peraturan ditetapkan jabatan antaranya tidak mempunyai permit dan tidak menepati garis masa untuk mendaki.

“Hasil siasatan Jabatan Perhutanan Johor mendapati pendaki tersebut bersama keluarga telah masuk ke dalam Hutan Simpan Banang selepas jam 4 petang untuk mendaki ke puncak Gunung Banang.

“Pendakian itu juga telah melanggar masa ditetapkan iaitu tidak boleh lewat dari jam 2 petang bagi memastikan pendaki dapat keluar semula sebelum jam 7 petang.

“Pendaki yang dilaporkan sesat itu bersama keluarganya juga tidak memohon Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal sebagaimana yang telah disyaratkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditemukan selamat selepas hampir 24 jam hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama ahli keluarganya di gunung berkenaan pada Sabtu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 45 tahun itu ditemui selepas dia berjaya keluar dengan sendiri dari kawasan pendakian kira-kira jam 7 malam pada Ahad.

Salim berkata, Jabatan Perhutanan Johor ada menempatkan anggota bertugas pada setiap hari di pintu masuk trek pendakian yang bermula dari jam 8 pagi hingga jam 3.30 petang untuk memantau perjalanan aktiviti pendakian.

“Bagi kesalahan tidak mempunyai Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal seperti yang disyaratkan, ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Sehubungan itu, jabatan akan jalankan siasatan lanjut termasuk merekod kenyataan pendaki yang sesat serta ahli keluarga untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang awam terutamanya peminat sukan pendakian hutan supaya mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekiranya mahu melakukan aktiviti tersebut.