RM5.3 juta laksana projek pengurusan estet padi Kerian

Nadzri (tengah) menerima cenderahati daripada wakil PPK Selinsing dan Gunong Semanggol, Abdul Rahman (dua, kiri).
Nadzri (tengah) menerima cenderahati daripada wakil PPK Selinsing dan Gunong Semanggol, Abdul Rahman (dua, kiri).
A
A
A

SELINSING - Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan RM5.3 juta bagi perlaksanaan projek Model Pengurusan Estet (EMM) tanaman padi di daerah Kerian seluas 1,829 hektar bagi tempoh tahun 2019 hingga 2020.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Nadzri Ismail berkata, keseluruhan peruntukan pembangunan itu disalurkan kepada PPN Perak yang dilantik sebagai ejen pengurusan projek EMM tanaman padi melibatkan kawasan Dun Selinsing, Gunong Semanggol serta Dun Tanjung Piandang.

Menurutnya, perlaksanaan projek tanaman padi secara bersepadu itu diharapkan mampu meningkatkan pengeluaran hasil padi bersih di daerah Kerian daripada 3.8 metrik tan sehektar sehingga mencapai 6 metrik tan sehektar.

"Projek EMM tanaman padi ini sudah dimulakan di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan(PPK) Gunong Semanggol, Selinsing pada 15 Mac lalu dengan keluasan keseluruhan 490 hektar di sini melibatkan 350 petani.

"Kami sedang menggiatkan kerja pemulihan dan pembangunan tanah dan PPN Perak menjangkakan tambahan 800 hektar kawasan tanaman padi di Tanjung Piandang akan turut dilaksanakan projek EMM pada musim kedua penanaman padi tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek EMM tanaman padi daerah Kerian yang turut dihadiri Pengurus Kanan NCIA, Mohd Fauzi Ahya di Kampung Sungai Protan di sini, hari ini.

Nadzri (tengah) menerima cenderahati daripada wakil PPK Selinsing dan Gunong Semanggol, Abdul Rahman (dua, kiri).
Nadzri (tengah) menerima cenderahati daripada wakil PPK Selinsing dan Gunong Semanggol, Abdul Rahman (dua, kiri).

Nadzri berkata, selain inisiatif meningkatkan hasil padi, PPN Perak dengan kerjasama dua PPK di daerah ini turut memfokuskan usaha meningkatkan pendapatan keseluruhan 888 petani terlibat di seluruh Kerian secara berganda daripada hasil sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keseluruhan peruntukan RM5.3 juta disalurkan NCIA akan digunakan untuk membangunkan infrastruktur pertanian padi, sistem pengairan sawah, teknik pembajaan berkesan, latihan pengurusan estet padi serta penggunaan teknologi pertanian padi terkini termasuk dron.

"Projek EMM ini diyakini mampu mencapai sasaran ditetapkan PPN dan PPK kerana model pengurusan itu terbukti berjaya meningkatkan pengeluaran hasil padi di Pulau Pinang dan Kedah, daripada purata pengeluaran 4 metrik tan sehektar kepada 6 metrik tan sehektar.

"Kami dengan kerjasama NCIA yakin melalui perlaksanaan kerja pemulihan tanah bersepadu serta inisiatif pengurusan padi secara berkelompok memberi kesan lebih efisien terhadap peningkatan hasil padi berbanding petani mengusahakannya secara bersendirian," katanya.