Kerajaan perlu bangunkan aplikasi e-hailing, tangani isu harga

Beberapa peraturan diperkenalkan terhadap perkhidmatan e-hailing antaranya berkaitan kadar komisyen dan tambang dilihat telah menampakkan seolah-olah tawaran perkhidmatan teksi di dalam negara seperti terlalu mahal. - Gambar hiasan
Beberapa peraturan diperkenalkan terhadap perkhidmatan e-hailing antaranya berkaitan kadar komisyen dan tambang dilihat telah menampakkan seolah-olah tawaran perkhidmatan teksi di dalam negara seperti terlalu mahal. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan menerusi syarikat berkaitan miliknya (GLC) perlu membangunkan aplikasi e-hailing yang dikuasai sepenuhnya oleh pentadbiran negara bagi menyelesaikan isu ketidaktentuan penawaran harga dihadapi penumpang dan pemandu perkhidmatan tersebut.

Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia, Kamarudin Hussain berkata, usaha itu kemudiannya perlu diikuti dengan penyelarasan perbezaan pentakrifan dan peraturan antara dua penyedia perkhidmatan yang sama iaitu teksi dan e-hailing.

Beliau berkata, menerusi langkah tersebut, kerajaan dijangka dapat menyelamatkan berbilion ringgit wang hasil daripada sektor perkhidmatan tersebut daripada dibawa keluar oleh syarikat luar untuk digunakan bagi menjaga kebajikan pemandu dan menaik taraf industri teksi negara.

“Tapi persoalannya, sampai bilakah kerajaan akan membiarkan masalah ini berterusan dan kerajaan manakah yang akan menggunakan pakai cadangan kami dan menyelesaikan masalah ini demi kesejahteraan rakyat?," soalnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beberapa pengguna e-hailing baru-baru ini melahirkan kekecewaan mereka di sosial media terhadap perkhidmatan tersebut yang dilihat menawarkan harga perkhidmatan agak tinggi berbanding sebelum ini.

Kamarudin berkata, cadangan mengenai perkara tersebut telah berkali-kali dikemukakan kepada kerajaan agar industri tersebut dapat digerakkan dengan adil kepada semua pihak termasuk pemandu teksi, e-hailing dan penumpang.

Katanya, hasil pemantauan di sosial media mendapati ketika ini hampir setiap hari akan ada sahaja rungutan penumpang dan pemandu e-hailing yang tidak berpuas hati dengan kadar tambang terlalu rendah.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, beberapa peraturan diperkenalkan terhadap perkhidmatan e-hailing antaranya berkaitan kadar komisyen dan tambang dilihat telah menampakkan seolah-olah tawaran perkhidmatan teksi di dalam negara seperti terlalu mahal.

“Tambang teksi adalah satu kadar yang ditentukan oleh kerajaan hasil daripada penilaian segala kos terpaksa ditanggung oleh pemandu dan tidak membebankan penumpang.

“Kadar tambang e-hailing pula tidak dikawal dan diserah bulat-bulat kepada syarikat pengendali untuk menentukannya.

“Kesudahannya, syarikat pengendali e-hailing ini menjerat penumpang dengan membuang harga supaya teksi dinampakkan terlalu mahal,” dakwa beliau.