‘Anwar-Najib matlamat sama tetapi hala tuju berbeza’

Program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis. (Gambar kecil: Mohd Azizuddin)
Program Debat Perdana yang disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis. (Gambar kecil: Mohd Azizuddin)
A
A
A

SHAH ALAM - Hujah Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Debat Perdana yang berlangsung pada Khamis lebih mengetengahkan keperluan untuk memastikan adanya kawalan dan pembetulan dari segi pengurusan ekonomi korporat dalam negara.

Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Ketua Pembangkang itu juga banyak menekankan pengurusan dan tadbir urus korporat yang baik dan berintegriti.

Manakala hujah Datuk Seri Najib Tun Razak pula katanya, lebih melihat kepada bagaimana ingin membantu rakyat dengan memperkuatkan sektor korporat dalam negara melalui pelaburan daripada projek mega.

“Anwar lebih mengetengahkan perspektif nak bela golongan bawah dan memastikan ada kawalan dan pembetulan pengurusan ekonomi korporat dalam negara.

“Dia (Anwar) ada isu utama yang dibawa dalam hujah yang mana beliau cuba memfokuskan pengurusan ekonomi negara khususnya yang melibatkan syarikat besar dan keperluan rakyat.

“Mana satu yang perlu diberi keutamaan, rakyat atau syarikat besar seperti Sapura Energy Berhad (SEB) yang perlu diselamatkan.

“Kedua-dua pemimpin ini mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk membantu rakyat tetapi dengan cara atau hala tuju yang berbeza,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, apabila bercakap tentang isu rakyat dan masa depan negara, Ahli Parlimen Port Dickson itu cuba memfokuskan hala tuju pendekatan yang lebih melihat pada isu integriti, rasuah dan golongan elit.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kita dapat selesaikan isu (rasuah dan integriti) ini, berapa banyak perkara yang dapat kita selesaikan dan seterusnya menambah pendapatan dalam negara,” jelasnya.

Beliau dalam masa sama turut mengakui bahawa debat antara pemimpin politik adalah budaya baharu yang sudah mula diterima sebagai satu pendekatan yang baik dalam mencakna pemikiran dan idea rakyat.

“Ia perkara baharu tetapi sudah semakin diterima sebagai pendekatan demokrasi dalam negara.

“Ia supaya masyarakat faham perspektif pemimpin parti politik tertentu dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan rakyat.

“Saya jangkakan lebih banyak lagi debat sebegini akan datang yang sihat dalam demokrasi Malaysia pada hari ini,” ujar beliau.