Ekonomi modal beri manfaat kepada rakyat

Zee How - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Zee How - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM – Ekonomi modal memberi manfaat jangka masa panjang kepada rakyat.

Personaliti media sosial, Tai Zee How berkata, ekonomi modal melibatkan projek mega kerajaan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Lebuhraya Pan Borneo adalah satu bentuk pelaburan.

Beliau berkata, faedah jangka masa pendek contohnya kontraktor tempatan khususnya syarikat bumiputera mendapat pendapatan sekali gus menaikkan taraf ekonomi setempat.

“Manakala untuk jangka masa panjang bila infrastruktur ini sudah mencapai kematangan ia dapat memberikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Edisi ke-344 ‘#NajibvsAnwar demi rakyat atau sandiwara politik’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis, Pengurus Kanan Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, IDEAS, Aira Azhari dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff dikendalikan Ismail Adnan selaku moderator

Tambahnya lagi, hasil penelitian terhadap isu-isu di pedalaman Sabah dan Sarawak, jikalau dibuat perbandingan ekonomi dengan Kuala Lumpur ia jauh berbeza.

“Kalau bina jalan kemudahan lampu jalan dan internet di Kuala Lumpur boleh memanfaatkan contohnya, 50,000 orang dalam lingkungan dua kilometer persegi," ujarnya.

Jelasnya, kalau dipindahkan ratio ini kepada Sabah atau Sarawak duit yang akan dibelanjakan untuk infrastruktur tempatan ini hanya boleh memanfaatkan 200 penduduk di sebuah perkampungan, maka ratio sudah ‘off’.

“Pelaburan infrastruktur pedalaman di dua negeri itu lebih besar kalau buat perbandingan perkapita berbanding Kuala Lumpur,” ujarnya.