KRPPM persoal status RUU Pendanaan Politik

KRPPM mempersoal status RUU Pendanaan Politik yang sepatutnya dibentangkan pada awal tahun 2020.
KRPPM mempersoal status RUU Pendanaan Politik yang sepatutnya dibentangkan pada awal tahun 2020.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mempersoal status Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang sepatutnya dibentangkan pada awal tahun 2020.

Kumpulan itu berkata, sehingga kini masih tiada sebarang kemas kini mengenai RUU tersebut, manakala organisasi masyarakat sivil, ahli Parlimen mahupun senator juga tidak mempunyai capaian terhadap RUU Pendanaan Politik.

“Justeru, kekurangan ketelusan serta keterlibatan ini tidak menunjukkan petanda yang baik kepada kemajuan pembaharuan institusi di Malaysia,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Status RUU tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat kedua melibatkan beberapa kumpulan masyarakat sivil, termasuk Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Badan Peguam Malaysia, Rasuah Busters dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) pada Khamis.

Dalam mesyuarat sama, KRPPM juga bersetuju dengan beberapa prinsip utama pendanaan politik antaranya ketelusan dan kebertanggungjawaban, larangan terhadap pendanaan asing serta mengehadkan jumlah sumbangan yang boleh dilakukan oleh individu dan syarikat.

“Selain itu, melarang sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain yang mempunyai konflik kepentingan,” katanya.

KRPPM bagaimanapun turut berharap dapat bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam waktu terdekat untuk berkongsi usaha dilakukan mengenai perundangan pendanaan politik dan mendapatkan sokongan membentangkan RUU tersebut.

“KRPPM menaruh harapan untuk mendapatkan sokongan semua ahli Parlimen merentasi semua parti politik supaya dapat mengutamakan pendanaan politik yang telus sebagai suatu asas demokrasi yang sihat, matang serta bertenaga,” kata kumpulan itu lagi.

Keanggotaan KRPPM terdiri daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari sebagai pengerusi; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (Timbalan Pengerusi); Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi (Setiausaha); Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Bendahari) dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Selain itu, kumpulan itu turut dianggotai Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, manakala senator pula ialah Fadhlina Sidek daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).