166 kematian, 160 kemalangan maut direkodkan sepanjang Op Selamat 18

Acryl Sani (tengah) menghadiri majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 18, pada Jumaat.
Acryl Sani (tengah) menghadiri majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 18, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 166 kematian dan 160 kemalangan maut direkodkan di seluruh negara sepanjang 10 hari Ops Selamat 18 dilancarkan bermula dari 29 April lalu hingga Ahad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, statistik kes kemalangan jalan raya bagi Op Selamat kali ini mencatatkan sedikit peningkatan berbanding Op Selamat 15 pada 2019.

"Jumlah kematian merekodkan peningkatan sebanyak empat peratus (enam kes) dengan 166 kes berbanding 160 kes semasa Op Selamat 15.

"Kes kemalangan maut pula merekodkan peningkatan tujuh peratus (10 kes) dengan 160 kes berbanding 150 kes pada Op Selamat 15," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Acryl Sani berkata, sebanyak 15,947 kes kemalangan telah dilaporkan iaitu meningkat satu peratus (111 kes) berbanding 15,836 kes bagi Op Selamat 15.

"Penunggang dan pembonceng motosikal kekal mencatatkan kematian tertinggi iaitu 108 kematian dengan menyumbang kepada (65 peratus) daripada keseluruhan kes kematian pada Op Selamat 18," katanya.

Beliau berkata, peningkatan kes kemalangan disebabkan faktor pertambahan aliran kenderaan yang tinggi sehingga mencapai lima juta buah kenderaan berikutan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan bantuan pelbagai agensi masih mampu mengawal situasi di jalan raya sepanjang Op Selamat 18," katanya.

Tambah Acryl Sani, sebanyak 338,296 saman dikeluarkan dalam Op Selamat 18 berbanding 223,449 saman semasa Op Selamat 15.

"Ia menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 114,847 (51 peratus)," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kesesakan yang berlaku di jalan dan lebuh raya utama negara dapat dikawal dengan baik melalui Op Lancar yang diatur gerak melibatkan semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pemantauan di udara menggunakan aset helikopter dan dron Pasukan Gerakan Udara dilihat berkesan menangani keadaan luar jangka daripada menjadi lebih buruk," katanya.

Tambah Acryl Sani, kerjasama masyarakat mengisi borang balik kampung bagi rumah atau premis yang ditinggalkan sepanjang Op Selamat 18 membantu PDRM dalam memastikan kadar jenayah pecah rumah dapat diturunkan.

"Sebanyak 313 kes pecah rumah dilaporkan dalam Op Selamat 18 menunjukkan penurunan drastik iaitu 426 peratus (232 kes) berbanding 545 kes

pecah rumah pada Op Selamat 15," katanya.