Polis Sabah tumpas sindiket edar dadah, rampas 10.4kg syabu

Jauteh (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kota Kinabalu.
Jauteh (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas sebanyak 10.4 kilogram syabu di sebuah taman perumahan di Tuaran pada Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, seorang lelaki berusia 40 tahun turut ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, lelaki itu ditahan bersama dadah dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan berkenaan.

"Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kontinjen Sabah telah menahan seorang lelaki tempatan bersama sebuah kenderaan yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu terdapat satu bungkusan yang di dalamnya mengandungi dadah jenis syabu sebanyak 10.4 kilogram dengan nilai anggaran RM360,000," katanya pada sidang akhbar di IPK Sabah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, dadah itu dipercayai baru tiba dari Kuala Lumpur untuk diedarkan kepada penagih di negeri ini.

"Dadah ini dari Kuala Lumpur diseludup masuk menggunakan perkhidmatan kurier. Dengan berat dadah yang dirampas ini boleh menampung sehingga 50,000 penagih dalam sehari.

"Kita tidak menolak bahawa sindiket ini ada kaitan dengan sindiket yang pernah kita tumpaskan sebelum ini. Setakat ini hanya seorang yang ditahan namun pihak polis berjaya mengesan dua lagi suspek dipercayai terlibat iaitu seorang wanita dan lelaki berusia 40-an," katanya.

Tambah beliau, suspek yang juga positif dadah jenis syabu direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Jauteh berkata, rampasan itu membuktikan bahawa kegiatan pengedaran dadah masih berlaku di Sabah.

"Jadi saya menyeru orang ramai supaya sentiasa memberi maklumat kepada polis khususnya di Sabah bagi menghapuskan kegiatan penyalahgunaan dadah," katanya.