Guna helah jual tiket penerbangan harga murah jerat mangsa

PDRM mengesan helah penipuan jualan tiket penerbangan dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.(Gambar hiasan) - Foto 123RF, gambar kecil: Mohd Kamarudin
PDRM mengesan helah penipuan jualan tiket penerbangan dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.(Gambar hiasan) - Foto 123RF, gambar kecil: Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan helah penipuan jualan tiket penerbangan dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan siasatan, mangsa dikatakan melayari satu laman sosial memaparkan iklan penjualan tiket penerbangan yang didakwa dikendalikan sebuah agensi pelancongan.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran harga lebih murah berbanding harga pasaran akan membeli tiket penerbangan diiklankan itu.

"Setelah pembayaran dibuat, mangsa gagal memperolehi tiket penerbangan yang dibeli," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 20 laporan polis diterima membabitkan kerugian sebanyak RM233,954.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dengan berwaspada apabila membuat sebarang transaksi dalam talian kepada individu yang tidak dikenali di media sosial.

"Elakkan membuat pembayaran ke dalam akaun bank atas nama individu yang berlainan daripada nama penjual.

"Sila semak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559," ujarnya.