'PH diyakini jadi blok terbesar selepas PRU15'

Program Berani Semuka sempena Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 bertajuk "Siapa Layak Bersama Anwar?" menampilkan dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Program Berani Semuka sempena Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 bertajuk "Siapa Layak Bersama Anwar?" menampilkan dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pakatan Harapan (PH) diyakini mampu menjadi blok parti terbesar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu berjaya memikat semula pengundi atas pagarnya.

Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, parti itu hanya perlu mendapatkan kembali lima hingga 10 peratus pengundi atas pagar yang sebelum ini mengundi PH tetapi beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, ia berdasarkan keputusan empat siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini yang menyaksikan undi atas pagar PH telah beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dan berlaku kelesuan politik melampau dari segi jumlah keluar mengundi yang diyakini mereka yang tidak keluar mengundi itu ramai dalam kalangan pengundi atas pagar PH.

"Daripada angka politik ini sebenarnya kalau kita masuk berunding (dengan parti lain) dan berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang kita hanya perlukan untuk mendapatkan kembali lima hingga 10 peratus pengundi atas pagar yang sebelum itu mengundi PH tapi beralih kepada PN.

"Kalau kita dapat lima hingga 10 peratus untuk kembali kepada PH, sebenarnya kita boleh membentuk blok parti paling besar dalam pilihan raya akan datang dalam pertandingan tiga penjuru," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Rabu.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, dalam tempoh antara empat ke lima bulan atau setahun ini, PKR perlu meyakinkan kembali dan membuat penyokong tegar mereka untuk kembali menyokong parti berkenaan.

"Dalam tempoh empat ke lima bulan atau setahun ini kalau kita betul-betul ikhlas dan tunjuk kita sedar kesilapan kita dan memberi isyarat yang jelas bahawa kita tidak pentingkan kedudukan," katanya.