Khemah besar: Guna ruang pemilihan parti dengar pandangan rakyat

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini perlu digunakan sepenuhnya untuk mendengar pandangan rakyat sama ada mereka bersetuju untuk parti itu berunding dengan parti lain untuk mewujudkan 'khemah besar'.

Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, jika ramai tidak bersetuju, parti itu boleh memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjadi agresif dan kembali membina kekuatan seperti yang berjaya dibina sebelum ini hingga berjaya menang pilihan raya umum pada 2018.

"Bagi saya akar umbi PKR telah memberi masa yang cukup iaitu lebih dua tahun supaya perkara ini (kerjasama dengan parti lain) dibuktikan bahawa ia boleh dilakukan tetapi perkara itu telah gagal.

"Kita juga telah membayar harga yang mahal dalam empat pilihan raya negeri (PRN) yang lepas," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Rafizi berkata, sebelum ini beliau mencadangkan parti itu menggunakan emosi dan kemarahan rakyat untuk memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kekal berkuasa selepas 'Langkah Sheraton' namun cadangannya itu tidak diguna pakai apabila pimpinan kekal mengambil pendekatan mengadakan rundingan dengan parti lain.

Menurutnya, strategi itu disuarakan bagi memastikan PH tidak melupakan idealisme supaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) parti itu tidak bergantung kepada watak-watak yang melompat parti.

"Pada masa itu kemarahan rakyat tertumpu kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengkhianati mandat rakyat.

"Ketika itu saya telah menyatakan secara jelas dan turut dipersetujui oleh Datuk Seri Saifuddin sendiri bahawa lebih baik kita menggunakan kemarahan itu untuk menjana gelombang supaya tidak melunturkan idealisme dan kita boleh masuk PRU15 nanti dengan mendapat mandat lebih besar," ujarnya.

Kata Rafizi, walaupun idea itu dipersetujui parti namun akhirnya beliau dimaklumkan kepimpinan PKR bahawa parti itu membuat keputusan untuk berunding semula dengan parti-parti lain bermula dengan UMNO.