'Tindakan berunding dengan parti lain bukan operasi sulit'

Saifuddin ketika program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Saifuddin ketika program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan tindakannya berunding dengan parti-parti lain termasuk UMNO bagi membolehkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri dalam pengetahuan semua pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Justeru katanya, tidak timbul isu beliau ‘pandai-pandai' bertindak sendiri atau melakukannya secara sulit.

“Apabila kerajaan PH jatuh, parti (PKR) berbincang, PH berbincang dan keputusan diambil. Tugasan diberikan kepada beberapa pimpinan tertentu bermaksud saya hendak tegaskan ia bukan salah Saifuddin berunding.

“Ia adalah keputusan kolektif setelah pimpinan-pimpinan parti (PKR) dan PH berbincang.

“Tugasan diberi untuk saya mendekati pimpinan dari Sabah dan Sarawak. Peranan diberi juga kepada saya untuk berjumpa parti-parti di luar daripada komponen PH, ahli Parlimen Bebas, ahli Parlimen daripada parti Islam (Pas) dan UMNO.

“Kesemua sekali yang kita perlukan bukan mereka berpindah parti tetapi yang kita perlukan adalah komitmen sokongan. Keputusan itu dibincang bersama, tugasan diberi, tugasan itu jatuh kepada saya, maka saya laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dalam masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada Rafizi kerana memberinya peluang menjelaskan mengenai isu tersebut.

“Saya berterima kasih saudara Rafizi kerana tanya soalan ini dan beri peluang kepada saya membuat penjelasan supaya memberi gambaran yang lebih adil bahawa ia bukan pandai-pandai personaliti Saifuddin (untuk pergi berunding).

“Dia (Saifuddin) bergerak sebagai melaksanakan ketetapan konsultatif dan konsensus pimpinan kerana itu saya tidak perlu untuk berbasa-basi, berselindung dan jika ditanya pengumuman saudara Anwar saya juga akui kita telah menghantar surat ke Istana Negara. Kita telah mempunyai kesemua dokumen sah yang membuktikan angka sokongan,” katanya.

Saifuddin juga mengulangi pendirian bahawa keputusannya berunding dengan parti-parti di luar daripada komponen PH diketahui semua pimpinan PH.

“Kita laporkan kemajuan secara terbuka dalam mesyuarat-mesyuarat parti. Kita beri taklimat kepada kesemua pimpinan ahli Parlimen PKR, tanpa berselindung,” katanya.