Pencemaran Sungai Ngulang, operasi sebuah kilang dihentikan

Ratusan ikan ditemukan mati terapung di permukaan Sungai Ngulang baru-baru ini yang airnya turut bertukar warna kehitaman. - Foto ihsan Ibnul Khattab
Ratusan ikan ditemukan mati terapung di permukaan Sungai Ngulang baru-baru ini yang airnya turut bertukar warna kehitaman. - Foto ihsan Ibnul Khattab
A
A
A

PADANG BESAR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis bertindak menghentikan operasi sebuah kilang susulan pencemaran Sungai Ngulang di sini, yang menyebabkan ratusan ikan ditemukan mati terapung baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohamad Fitri Said berkata, kertas siasatan turut dibuka untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak industri supaya sentiasa mematuhi langkah kawalan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi menjaga kelestarian alam dan sungai di negeri itu.

"Kita sudah ambil tindakan penahanan operasi (kilang) berhampiran kawasan itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden pencemaran di Sungai Ngulang itu.

Beliau berkata, sekiranya pihak kilang didapati melanggar AKAS 1974, tindakan boleh diambil yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 dan penjara hingga lima tahun.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail pula berkata, pencemaran di sungai itu merupakan insiden berulang dan dipercayai berlaku disebabkan pelepasan efluen (sisa buangan cecair) dari kawasan perindustrian berhampiran.

Ahmad berkata, sehubungan itu, JAS bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat perlu memainkan peranan bagi mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu pencemaran sungai dan memastikan Indeks Kualiti Air (WQI) berada dalam kategori kelas satu.

"Kita tidak menghalang operasi kilang industri, namun pihak terlibat seharusnya mematuhi kriteria ditetapkan oleh pihak berkuasa agar pelepasan efluen lebih terkawal dalam memelihara sungai di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai makan di Kampung Ngulang, Norma Said, 60, berharap isu pencemaran sungai dapat diselesaikan segera kerana orang ramai semakin bimbang terhadap pencemaran yang berlaku di kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti memancing itu.

"Sewaktu pencemaran, air sungai ini bertukar kehitaman dan tidak jenih seperti kebiasaan,” katanya. - Bernama