'Individu guna khidmat polis pengiring akan disiasat'

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang tidak ada dalam senarai mendapatkan khidmat polis pengiring bermotosikal tidak dibenarkan mengguna khidmat berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kemudahan itu perlu mendapat kelulusan daripada Ketua Polis Negara terlebih dahulu.

"Jika ada kesalahan dilakukan oleh anggota, kita akan ambil tindakan dan kita sudah jalankan siasatan dalaman (kes video tular polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen).

"Kita juga akan siasat individu yang menerima kemudahan itu jika dikesan ada melakukan mana-mana kesalahan kerana melanggar undang-undang,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Rabu.

Hamzah berkata, prosedur operasi standard (SOP) polis pengiring bermotosikal sedia ada sudah jelas dan tidak memerlukan SOP yang baharu.

"Kita juga sudah menjawab isu ini di dalam Parlimen, jadi tidak timbul masalah ini. Jika berlaku kesalahan, ia masalah individu yang menggunakan kemudahan yang tidak patut digunakan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, tular klip video yang dimuat naik di laman sosial Facebook yang memaparkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tiada arahan rasmi mahupun tidak rasmi dikeluarkan pucuk pimpinan PDRM di peringkat Kontinjen Pulau Pinang untuk penugasan mengiringi anak seorang ahli Parlimen.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Nombor 11 (Prosedur atur gerak dan membuka laluan trafik), proses kelulusan permohonan secara rasmi kepada jabatan perlu dilakukan dalam masa tujuh hari waktu bekerja kecuali kecemasan.