9,230 bekas pesakit Covid-19 jalani rehabilitasi Long Covid-19

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 9,230 bekas pesakit Covid-19 telah menjalani rawatan perubatan rehabilitasi Long Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara, setakat April lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, 2,798 pesakit mendapatkan rawatan pesakit dalam dan 6,432 lagi pesakit luar.

"Sebanyak 30 hingga 40 peratus pesakit Long Covid-19 dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti Covid-19 manakala 60 hingga 70 peratus kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, Long Covid-19 dikenali dengan meluas sebagai komplikasi atau sindrom Covid-19 berpanjangan boleh berlaku tanpa mengira tahap jangkitan Covid-19.

"Kadar prevalen di dalam negara bagi individu yang mengalami gejala Long Covid-19 setelah sembuh daripada jangkitan kategori empat dan lima adalah 65.1 peratus, di mana 61.2 peratus daripadanya mengalami lebih daripada dua gejala Long Covid-19," katanya.

Beliau berkata, antara gejala Long Covid-19 yang kerap dialami oleh pesakit adalah kelesuan, sukar bernafas, batuk, sukar tidur nyenyak, sakit sendi dan sebagainya.

"Tanpa rawatan yang khusus dan berstruktur, keadaan ini boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup individu yang mengalami gejala Long Covid-19," katanya.

Khairy berkata, keadaan itu juga boleh menyebabkan implikasi seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan yang akhirnya akan menyebabkan bebanan sosio-ekonomi bukan sahaja kepada individu tersebut, malah keluarga, masyarakat serta ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, bagi menangani gejala Long Covid-19 dengan berkesan dan selamat, KKM telah menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pasca Covid-19 Kebangsaan pada Julai 2021 sebagai sumber rujukan dan melibatkan pelbagai disiplin kepakaran termasuklah kesihatan primer, penyakit berjangkit, perubatan dalaman, nefrologi, kardiologi, respiratori, obstetrik, pediatrik, psikiatri dan perubatan rehabilitasi.

"Dengan adanya protokol Garis Panduan Pengurusan Pasca Covid-19 Kebangsaan, individu yang mengalami gejala Long Covid-19 yang ringan boleh menjalani penilaian awal serta rawatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat di seluruh negara.

"Bagi individu yang mengalami gejala Long Covid-19 serius sehingga menjejaskan kefungsian yang ketara serta menjejaskan keupayaan untuk kembali bekerja, mereka boleh dirujuk oleh kepada hospital dengan kepakaran perubatan rehabilitasi," katanya.

Ujarnya, perubatan rehabilitasi merupakan kepakaran perubatan yang memberikan fokus kepada peningkatan kefungsian individu melalui diagnosis, rawatan kesihatan, mengurangkan kehilangan upaya serta pencegahan komplikasi.

"Intervensi program rehabilitasi bermatlamatkan kefungsian optimum fizikal, kognitif, sosial, psikologikal, vokasional dan avokasional, seiring dengan keperluan tersendiri individu yang terkesan," katanya.

Tambah Khairy, program rehabilitasi komprehensif serta holistik melibatkan kepakaran pelbagai anggota interdisiplinari yang terdiri daripada Pakar Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, anggota Pemulihan Fisioterapi, anggota Pemulihan Cara Kerja dan Jururawat.

"Bergantung kepada keperluan spesifik pesakit, Pegawai Pemulihan Pertuturan dan Penelanan, Kaunselor, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi dan Pegawai Kebajikan Sosial Perubatan juga boleh dilibatkan bersama.

"KKM akan terus menambah lebih banyak sumber dan peralatan untuk merawat serta memulihkan kes-kes Long Covid-19 sebagai sebahagian daripada strategi untuk melindungi dan merawat mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti virus Covid-19," katanya.