Hampir RM1.8 juta baiki ban pecah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (dua dari kanan) meninjau lokasi ban pecah di Pelubang, di sini, pada Selasa.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (dua dari kanan) meninjau lokasi ban pecah di Pelubang, di sini, pada Selasa.
A
A
A

JITRA - Kerajaan negeri menganggarkan kos pembaikan semula runtuhan ban dan terusan tengah di Pelubang, di sini, mencecah hampir RM1.8 juta.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, runtuhan ban pada Isnin itu merupakan perkara di luar jangka mengakibatkan limpahan air ke kawasan berhampiran.

Muhammad Sanusi memberitahu, susulan itu, kerja-kerja sekatan sementara (belat) dilakukan bagi membendung limpahan air dan menakung semula air terusan tengah.

“Kita hendak ‘belat’ balik aliran sungai ini disebabkan kerja-kerja membuat semula ban yang runtuh itu akan memakan masa yang lebih panjang. Jadi untuk tindakan segera dibelat sungai inilah.

“Kita perlu meningkatkan paras air kira-kira 1 meter (m) lagi untuk semua Loji Rawatan Air (LRA) dapat beroperasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi ban pecah di Kampung Telaga Batu, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Bekalan Air & Sumber Air, Tenaga, Datuk Suraya Yaacob dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kamarudin Dahuli.

Menurut beliau, sekatan sementara dijangka siap petang Selasa bagi membolehkan air ditakung di Pelubang dapat dilepaskan supaya loji dapat berfungsi semula pada Rabu.

Muhammad Sanusi memberitahu, kerja sekatan sementara terusan berkenaan sedang dilakukan MADA menggunakan beberapa jentera berat ketika ini dengan kos mencecah RM300,000.

Beliau berkata, kerja membelat terus perlu dilaksanakan dahulu sebelum membaiki runtuhan.

Dalam perkembangan sama, katanya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada Isnin menjangkakan kira-kira 75,000 akaun pengguna akan terjejas akibat kejadian ban dan terusan tengah pecah tersebut.

Bagaimanapun katanya, hanya loji rawatan air (LRA) Pokok Sena sahaja yang terjejas setakat pagi Selasa manakala LRA lain seperti LRA Jenun Baru dan LRA Jenun Lama masih lagi beroperasi.

“Ketika ini, hanya 13,500 akaun pengguna SADA yang terjejas. Bagaimanapun, pelbagai tindakan diambil termasuk menyediakan lori untuk penghantaran air ke rumah penduduk penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menasihatkan pengguna-pengguna di beberapa kawasan khususnya di Alor Setar, Gurun dan Yan untuk menjimatkan penggunaan air di kediaman mereka.

Sementara itu, penduduk Taman Bandar Baharu Pokok Sena, Mohd Zin Hassan, 56, berkata, gangguan bekalan air di taman perumahan berkenaan berlaku sejak jam 5.30 petang.

Mohd Zin memberitahu, kira-kira 1,500 kediaman dipercayai terjejas apabila bekalan air diterima mereka terputus akibat ban kanan terusan tengah pecah secara tiba-tiba pada Isnin.

“Apabila bekalan air tiada, bukan hanya aktiviti harian terkesan malah perniagaan juga terganggu dan sukar melakukan kerja lain,” katanya.

Seorang surirumah, Nor Bahyah Tapa, 53, memberitahu, gangguan bekalan air berkenaan menyukarkan sebahagian penduduk melakukan aktiviti harian seperti memasak, mencuci pinggan dan membasuh pakaian.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Sinar Harian melaporkan 75,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Kota Setar dan Pokok Sena dijangka terjejas akibat ban MADA dan terusan tengah di Sungai Santap, Pokok Sena, dekat sini, pecah.

Susulan itu, MADA melaksanakan tindakan kecemasan segera berikutan kejadian runtuhan ban kanan terusan tengah yang berlaku di Struktur Alor Limpah, Sifon Lengkuas MADA sekitar jam 12.15 tengah hari Isnin.