Tradisi ziarah kubur pada raya enam diteruskan

Sebahagian daripada penduduk Kampung Lingai yang meraikan sambutan raya enam pada Isnin dengan menziarahi dan membersihkan tanah perkuburan di kampung berkenaan.
Sebahagian daripada penduduk Kampung Lingai yang meraikan sambutan raya enam pada Isnin dengan menziarahi dan membersihkan tanah perkuburan di kampung berkenaan.
A
A
A

KUALA NERUS - Seramai 300 penduduk Kampung Lingai di sini meneruskan tradisi sambutan raya enam dengan menziarahi tanah perkuburan di kampung berkenaan pada Isnin.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampug Lingai, Alias Mohd berkata, amalan berdoa dan bertahlil beramai-ramai di kawasan perkuburan diteruskan walaupun ada dalam kalangan anak kampung itu berhijrah ke bandar.

"Kita bersyukur kerana dapat mengembalikan tradisi ini turun temurun ini setelah dua tahun tertangguh kerana Covid-19.

"Walaupun ada yang berhijrah ke bandar, masih ramai dalam kalangan mereka yang pulang ke kampung halaman dan menyertai acara ini walaupun ia diadakan secara sederhana," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Alias, kesemua penduduk berkongsi juadah dibawa untuk dinikmati bersama-sama bagi meraikan raya enam.

"Selepas bacaan tahlil dan doa, kita turut meraikan sambutan raya enam dengan bersama-sama berkongsi juadah yang dibawa.

"Selain itu, penduduk kampung turut bergotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan ini yang secara tidak langsung mengeratkan silaturahim sesama mereka," katanya.

Menurut Alias, tradisi diamalkan itu kini sudah tidak semeriah dahulu kerana jarang diamalkan oleh generasi muda.

"Tak banyak kampung yang menyambut tradisi raya enam secara besar-besaran seperti ini. Kebanyakan daripada mereka menziarahi tanah perkuburan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan pada 1 Syawal.

"Di kampung ini sudah menjadi kebiasaan amalan menziarahi tanah perkuburan beramai-ramai dilakukan pada hari raya enam yang diraikan pada 8 Syawal. Namun, ada juga yang menziarahi kubur pada 1 Syawal secara individu," katanya.

Lazimnya, sambutan raya enam diraikan secara beramai-ramai pada 8 Syawal setelah tamat berpuasa selama enam hari pada bulan Syawal.