Tenun Pahang Diraja tampil julung kali di Minggu Kraf London

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat pameran Tenun Pahang Diraja sempena London Craft Week yang berlangsung bermula hari ini sehingga 15 Mei di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square. - Foto Bernama
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat pameran Tenun Pahang Diraja sempena London Craft Week yang berlangsung bermula hari ini sehingga 15 Mei di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square. - Foto Bernama
A
A
A

LONDON - Buat julung kalinya keindahan Tenun Pahang Diraja dipamerkan kepada dunia di Minggu Kraf London (LCW), yang berlangsung dari Isnin hingga 15 Mei.

Malaysia adalah salah sebuah daripada dua negara terpilih untuk menjayakan Pavilion Negara, yang ditampilkan bagi mengukuhkan festival itu sebagai platform berkongsi perspektif global, dan menyerlahkan perhatian terhadap London sebagai hab antarabangsa untuk mempertemukan pembuat dan kreativiti cemerlang dari seluruh dunia.

Satu lagi Pavilion Negara adalah Norway.

Dengan diterajui Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pameran itu mengetengahkan program tenunan dari penjara, yang menampilkan tenunan tradisional lengkap dengan penenun bertugas, fabrik arkib dari Muzium Pahang dan pilihan pakaian Tunku Azizah sendiri, serta koleksi Tenun peribadi.

"Semua ini adalah berkaitan menyulam harapan. Kisah ini sendiri adalah mengenai harapan hari ini... kami berharap dapat menghidupkan semula sulaman Tenun Pahang,” titah Seri Paduka Baginda semasa melancarkan Pameran Tenun Pahang Diraja di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, di sini.

"Harapan saya adalah untuk menghidupkan semula tenunan (Tenun Pahang), dan harapan saya untuk seni tenun bertahan, semuanya bergantung kepada banduan (menerusi program tenunan penjara). Mereka adalah harapan saya untuk kelangsungan seni tenun. Mereka yang menjayakannya, dan kerana mereka, kini terdapat lebih 200 penenun,” titah baginda yang membandingkan 15 penenun lama di Pahang pada 2006.

Raja Permaisuri turut memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Penjara, Institut Kraf Negara dan jabatan berkaitan, kerana 'memberi harapan dan peluang kedua' bukan sahaja untuk industri tenunan tertua untuk terus hidup, malah juga untuk membina kehidupan baharu bagi banduan.

"Ia salah satu industri tenunan tertua, berusia 1,000 tahun dengan bantuan Jabatan Penjara dan banduan, yang menghasilkan reka bentuk dan menenun.

"Senyuman di wajah mereka mencairkan hati saya. Saya melayan mereka seperti kawan. Selain menenun, mereka juga diajar memasak.

"Harapan paling besar (mereka) ialah diberi harapan untuk menjadi insan yang lebih baik, yang berkemahiran, dan memulihkan mereka agar dapat kembali kepada masyarakat sebaik sahaja mereka dibebaskan dari penjara,” titah Baginda.

Antara orang kenamaan yang hadir di majlis pelancaran hari ini ialah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar, Komisioner Jeneral Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhammad, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Aididah Ibrahim dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan mengadap Raja Permaisuri dan melawat Pameran Tenun Pahang: Menyulam Harapan LCW, Selasa.

Perdana Menteri yang dalam perjalanan ke Washington untuk Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat, juga dijadualkan menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia bersama dengan rakyat Malaysia di United Kingdom.

Tunku Azizah, yang merupakan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam titahnya menyuarakan rasa cukup teruja terhadap prospek mempamerkan tradisi tenunan Pahang yang berkurun lamanya, disifatkan baginda sebagai "membawa Penjara Penor dan Penjara Bentong (kedua-duanya di Pahang) ke London".

Baginda bertitah, tenunan itu dibawa baginda dari penjara, kerana baginda mahu dunia tahu mengenai kerja-kerja yang dilakukan mereka.

"Kita latih mereka (banduan), untuk menyediakan mereka apabila dibebaskan nanti, untuk kelangsungan hidup mereka.

"Ini adalah sebahagian daripada persediaan kami untuk pembinaan Perkampungan Al-Sultan Abdullah yang akan dibangunkan di Pekan - yakni sebuah pusat tumpuan yang boleh didatangi semua bekas banduan. Kita sediakan bengkel bagi membantu mereka menjual hasil tangan mereka,” katanya.

Selain mempamerkan potongan tekstil hasil tangan banduan kedua-dua penjara berkenaan, pameran itu turut menampilkan fabrik arkib Muzium Pahang dan koleksi baju kurung Riau-Pahang serta 20 helai 'samping'.

Bekas banduan, Md Ghafawi Mat Said, 52, tampil mempamerkan seni sulaman Tenun Pahang (12 x 3.75 kaki) hiasan dinding Tenun Pahang (hiasan dinding) sepanjang tempoh pameran.

Majlis itu dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan kerjasama Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara, Muzium Pahang dan Kraftangan Malaysia.

Semasa festival selama seminggu itu, kira-kira 250 pembuat, pereka, jenama dan galeri yang terkenal dan baru muncul dari seluruh dunia berkumpul untuk mempamerkan produk mereka pada festival tahunan itu, yang diadakan di beberapa venue di sekitar London. - Bernama