Warga emas maut motosikal bertembung

Ahmad Shukri
Ahmad Shukri
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Kubang Rotan, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian jam 7.15 pagi itu membabitkan dua buah motosikal iaitu SYM BX110 yang ditunggang mangsa, Osman Shaari, 79, dan sebuah lagi motosikal jenis SYM VF31 185 LE ditunggang penunggang berusia 41 tahun.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan warga emas yang cedera parah di kepala dan patah kaki kiri meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal yang luka di kepala, kaki dan lengan dirawat di zon kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Hasil siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian mendapati kemalangan ini berlaku sewaktu seorang penunggang motosikal sedang bergerak terus dari arah Kuala Kedah menuju ke Kuala Sungai melalui Jalan Kubang Rotan.

"Setibanya di lokasi kejadian, telah berlakunya perlanggaran antara penunggang motosikal yang bergerak terus itu dengan mangsa yang menyeberangi jalan dari sebelah kanan laluan penunggang motosikal lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan yang tiba bersama ambulans sejurus selepas kemalangan berlaku.

Beliau memberitahu, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.