Padah aksi 'zig-zag', himpit kereta polis

Kenderaan dipandu suspek berhenti di hadapan sebuah rumah di Felda Bukit Bading sebelum dia ditahan polis. - Foto ihsan PDRM
Kenderaan dipandu suspek berhenti di hadapan sebuah rumah di Felda Bukit Bading sebelum dia ditahan polis. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

HULU TERENGGANU - Memandu secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain dengan melakukan aksi 'zig-zag' serta menghimpit kereta peronda polis.

Itu tindakan berbahaya dilakukan seorang lelaki berusia 37 tahun yang memandu Perodua Viva selepas dia dikejar polis di jalan Kuala Terengganu - Bukit Besi pada jam 11.25 pagi, Ahad.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, sepasukan lima anggota polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail melakukan rondaan Ops Samseng Jalanan di sekitar daerah ini pada jam 10 pagi.

"Ketika membuat pemantauan di Jalan Kuala Terengganu - Bukit Besi, dua anggota polis melihat sebuah kereta Perodua Viva memotong di garisan berkembar lalu mengekori dan mengarahkan pemandu supaya menghentikan kenderaan tersebut namun lelaki itu bertindak memecut laju.

"Polis terus mengekori kereta itu dan ketika tiba di Kilometer (KM) 40 sehingga KM42 Jalan Kuala Terengganu - Bukit Besi, suspek bertindak memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya iaitu dengan melakukan aksi zig-zag serta menghimpit kereta polis," katanya kepada media di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Adli, suspek kemudian memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah rumah di Felda Bukit Bading, Ajil dan berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditangkap.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berasal dari Kuala Jengai, Dungun dan bekerja sendiri itu positif dadah.

"Sebanyak 11 saman dikeluarkan terhadap suspek iaitu lima bagi kesalahan memotong di garisan berkembar, tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insuran, tidak pakai tali pinggang keledar dan tidak patuhi arahan pegawai polis bertugas.

"Suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.